Sukan Hari Ini

UAE idam pesta gol

Meskipun jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mahdi Ali seakan-akan dapat menghidu peluang anak buahnya berkenduri gol ke atas Malaysia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, mereka tetap mengambil langkah waspada.

Katanya, tiada istilah kemenangan mudah dalam aksi di pentas antarabangsa ketika ini, namun anak buahnya tidak boleh mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri jika mahu memastikan misi mereka untuk layak ke Piala Dunia tercapai.

“Ini perlawanan penting, kami perlu menjaringkan gol untuk menang. Memang betul kami ada peluang melakukan banyak jaringan, tapi Malaysia juga mungkin boleh menghasilkan gol esok (hari ini).

“Apa yang perlu kami lakukan adalah untuk mendapatkan gol pertama dan kemudian barulah kami mencari kedudukan lebih selesa. Walaupun Malaysia kalah 0-6 kepada Palestin sebelum ini, kami tidak boleh menjadikan ia ukuran kerana perlawanan esok (hari ini) pasti berbeza,” katanya pada sidang media semalam.

UAE kini menduduki tangga ketiga di belakang Palestin dan Arab Saudi dalam Kumpulan A selepas menundukkan Timor Leste 1-0 Jun lalu, namun skuad The Whites itu beraksi kurang satu perlawanan.

Anak buah Mahdi turun dengan reputasi cukup besar selepas menyingkirkan juara bertahan Jepun di suku akhir Piala Asia 2015 dalam laluan mereka meraih tempat ketiga di kejohanan itu.

Malah, tanpa sebarang kecederaan membabitkan pemain utama seperti perancang Omar Abdulrahman dan penyerang Ali Mabkhout dan Ahmed Khalil dari kelab gergasi UAE Al Ahli dan Al Ain, pengendali itu tidak berdepan masalah untuk menurunkan barisan terbaiknya.

Cuma sedikit membimbangkan pengendali itu adalah aksi dalam cuaca panas yang turut dirasai pemain tuan rumah sendiri.

“Kami perlu berlatih dalam cuaca panas, tapi ia tidak boleh dielakkan kerana ini sudah ditetapkan AFC dan FIFA, jadi saya fikir ia tidak perlu dijadikan isu,” kata Mahdi.

-http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");