Berita Hari Ini

UPSR: Kesatuan guru sambut baik

KUANTAN – Kongres Kesatuan Guru-guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia menyambut baik penambahbaikan format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan subjek Bahasa Inggeris mulai tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata langkah memecahkan subjek itu kepada dua gred bagi kertas pemahaman dan penulisan, adalah tindakan terbaik bagi menguji tahap penguasaan murid terhadap subjek berkenaan selepas enam tahun mempelajarinya di sekolah.

“Ini merupakan ukuran terbaik kepada murid setelah enam tahun mereka belajar Bahasa Inggeris di sekolah dan kita juga berharap dengan pelaksanaan pengasingan dua kertas berkenaan, penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengagihan topeng muka dan air mineral kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Tengku Abu Nara Tengku Ahmad di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Lembaga Peperiksaan Datuk Nawal Salleh mengumumkan mengenai penambahbaikan itu yang turut melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Tamil.

Berikutan pengasingan gred bagi subjek Bahasa Inggeris, calon UPSR bagi SK akan mendapat enam gred berbanding lima sekarang manakala calon Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil akan memperoleh lapan gred berbanding tujuh ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Sabri juga berharap dengan penambahbaikan itu Kementerian Pendidikan dapat memberi pendedahan awal kepada guru yang terlibat dengan peperiksaan berkenaan supaya mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi pendedahan kepada calon yang terlibat.

“Kita harap guru diberi pendedahan awal iaitu sebelum sesi persekolahan 2016 bermula supaya mereka tahu bentuk soalan yang akan diuji, berapa peratus kandungan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang akan dimasukkan supaya tidak ada masalah berbangkit.

“Ada juga kita dengar rungutan daripada guru mengenai bentuk soalan UPSR sebelum ini yang mereka sendiri tidak boleh jawab, malah ibu bapa juga mengatakan soalan yang diuji tidak terdapat dalam silibus subjek anak mereka,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");