Berita Hari Ini

1.3 juta rakyat hidap masalah penglihatan

SHAH ALAM 8 Okt. – Sebanyak 1.3 juta rakyat negara ini yang berusia 50 tahun ke atas mengalami masalah penglihatan termasuk 43,000 daripadanya buta sepenuhnya akibat katarak pada tahun lalu.

Perangkaan itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berdasarkan data yang diperoleh daripada Banci Mata Kebangsaan II (NES II) yang dilaksanakan dalam tempoh Oktober hingga November tahun lalu.

Daripada statistik itu katanya, golongan pada usia berkenaan me­rupakan kumpulan utama me­ngalami masalah penglihatan akibat katarak yang mana tahap keseriusan berbeza-beza mengikut individu.

“Namun, daripada jumlah ke­seluruhan anggaran itu, kita jangkakan lebih sejuta rakyat Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas mengalami masalah katarak pada peringkat awal manakala 43,000 orang lagi buta apabila penglihatan mereka diukur berada pada tahap 6/60 ke bawah.

“Bagaimanapun, golongan yang mengalami penyakit ini pada pe­ringkat awal boleh menjadi lebih serius dalam tempoh lima hingga 10 tahun sekiranya tidak mendapat rawatan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Penglihatan Sedu­nia peringkat kebangsaan di Hospital Shah Alam (HSA) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Subramaniam turut memberitahu, kementeriannya akan melaksanakan pendekatan yang lebih proaktif dalam me­ningkatkan tahap kesihatan mata rakyat dengan mengukuhkan serta memperluaskan lagi program khas untuk rawatan katarak seperti Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) Statik, KK1M Mobil dan KK1M Transit dari semasa ke semasa khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

Beliau turut memberikan contoh kejayaan kerjasama Hospital Selayang dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mewujudkan KK1M Statik dengan menyediakan tenaga pakar serta peralatan moden untuk rawatan termasuk pembedahan katarak dengan kos bayaran rendah kepada pesakit ia­itu sebanyak RM103.

“Selain itu, kita akan meneliti untuk memperluaskan perkhidmatan KK1M Mobil yang menggunakan bas sebagai klinik bergerak yang dilengkapi dengan peralatan pembedahan khususnya di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak memiliki kemudahan kesihatan. Usaha-usaha ini antaranya merupakan satu strategi kerajaan untuk mewujudkan zon bebas katarak di seluruh negara,” jelasnya.

Dalam perkemba­ngan lain, Subramaniam menegaskan, pihaknya memberi tumpuan kepada strategi untuk melahirkan lebih ramai tenaga pakar serta terlatih dalam bidang oftamologi selaras dengan usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan mata untuk rakyat.
Setakat ini katanya, terdapat 230 pakar mata sedang bertugas di bawah naungan kementerian kesihatan.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");