Membawang Hari Ini

Artis kahwin ahli sukan

Senario perkahwinan selebriti dengan bintang sukan bukanlah fenomena baru di mana-mana.

Ia turut berlaku dalam kalangan selebriti tempatan khususnya membabitkan artis dengan ahli sukan terutama bintang bola sepak.
Bermula dengan perkenalan awal, mereka kemudian memasuki fasa percintaan yang serius.

Seterusnya disusuli pula dengan majlis perkahwinan yang lazimnya berlangsung dengan gah dan mendapat liputan meluas media.

Bagaimanapun, sudah lumrah kehidupan kerana ada yang manis dan ada juga pahitnya.

Tidak semua mereka bernasib baik kerana ada segelintirnya gagal mempertahankan rumah tangga dan memilih jalan perceraian.

Tidak kurang juga percintaan membabitkan artis dan bintang sukan hanya berlangsung separuh jalan apabila tiada persefahaman dan membawa haluan masing-masing.

RAP menyenaraikan selebriti tempatan yang memilih bintang sukan sebagai pasangan hidup mereka.

Rahimah Rahim

Penyanyi yang dikenali ramai menerusi lagu Gadis Dan Bunga ini memilih pemain bola sepak Singapura, Mohamad Noh Hussein sebagai pasangan hidupnya.

Malah demi menyatakan perasaan kasihnya terhadap Mohamad Noh, Rahimah turut merakamkan lagu berjudul Bintang Sukan Ku.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Pearl. Perkahwinan mereka hanya bertahan selama 12 tahun sebelum kedua-duanya membuat keputusan bercerai dan membawa haluan sendiri.

Salwa Abdul Rahman

Dikenali dengan suara manja, Salwa yang popular menerusi lagu Satu, Dua Kau, menjalin percintaan dengan pemain bintang bola sepak Kuala Lumpur dan kebangsaan, Subadron Abdul Aziz.

Mereka kemudian mengakhiri hubungan ini ke jenjang pelamin dan kekal bahagia sehingga kini. Kehadiran dua anak Puteri Sulaikha dan Putera Sufrie Nizam yang kini meningkat dewasa menyerikan lagi rumah tangga pasangan ini.

Salwa turut merakam semula lagu Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang yang ditujukan khas buat suaminya serta semua pemain bola sepak.

Haleeda

Awalnya menafikan mempunyai hubungan de­ngan Azman Adnan, pemain bola sepak sensasi yang menjadi rebutan banyak pasukan sekitar awal 1990-an.

Akhirnya peminat dikejutkan dengan perkahwinan penyanyi lagu Setia Kasih ini pada 27 Januari 1995 dengan Azman yang ketika itu mencipta nama bersama pasukan Selangor.

Mereka turut dikurniakan seorang anak bernama Amirah Amini Azman yang kini sudah berusia 20 tahun.

Mereka bercerai talak satu pada 9 Oktober 2003. Azman kemudian berkahwin de­ngan penyanyi As Feminin.

Ani Morat

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai pasangan ini kerana mereka agak ‘low profile’ dalam bidang masing-masing.
Ani adik kepada penya­nyi Ina Freshies dan ketika itu mencipta nama sebagai pelakon dan model.

Manakala, suaminya Shah­ril Arsat ialah pemain bola sepak Selangor seangkatan dengan Azman Adnan.

Pasangan ini turut dikurniakan beberapa anak dan kekal bahagia sehingga kini.

Rita Rudaini

Perkahwinan rahsia pasangan hangat ini di Song­khla, Thailand pada pertengahan Februari 2008 sememangnya mengejutkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa Aidil Zafuan sendiri.

Ia turut mendapat tumpuan meluas di media kerana Aidil ialah bintang bola sepak kebangsaan yang ketika itu mewakili Negeri Sembilan.

Kebahagiaan pasangan ini terserlah apabila dikurniakan dua anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Bagaimanapun, Rita dan Aidil bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Ayu Raudhah

Adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini menjalinkan hubungan de­ngan bintang bola sepak kebangsaan Zaquan Adha yang juga saudara kembar Aidil Zafuan.

Pasangan ini kini dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 2, dan Muhammad Aisy Aryann, 1.

Dynas Mokhtar

Pelakon ini memilih berkahwin dengan Hafizy Hafiz, pelumba kereta pada 15 Mac 2008.

Pasangan ini dikurniakan dua anak, Khyra Khalisa, 6, dan Mohamad Haqaish, 1.

Mulanya terdengar khabar angin mengatakan pasangan ini sudah bercerai, namun dinafikan Dynas.

Akhirnya dia mengesahkan perkara ini apabila memberitahu sudah bercerai sejak Februari tahun lalu.

Masalah komunikasi dikaitkan sebagai punca hubungan mereka menjadi hambar.

Haiza

Penyanyi genre dangdut yang popular menerusi lagu Dag Dig Dug ini memilih berkahwin dengan pemain hoki, Norhanaphe Omar pada Ogos 2007.

Selepas lima tahun berkahwin, pasangan ini akhirnya dikurniakan anak lelaki yang dinamakan Nur Iman Syafie, 2.

Suaminya dilihat begitu memahami minat Haiza dan sering memberikan sokongan terhadap kerjaya Haiza yang kini bertanding dalam program Gegar Vaganza musim kedua.

Arriana Teoh

Bekas Ratu Malaysia dan model ini berkahwin de­ngan pelumba kereta Alex Yoong pada 2002 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Alister pada 2003.

Difahamkan pasangan ini kini sudah bercerai, namun mengunci mulut untuk memperkatakan perkara ini kepada mana-mana pihak.

Raja Azmi

Penerbit sensasi ini berkahwin dengan pemain badminton, Jailani Sidek pada pada 22 Disember 1984, di Kamunting, Perak.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga orang anak yang kini sudah meningkat dewasa.

Bagaimanapun, selepas 28 tahun berkahwin, mereka sepakat memilih jalan untuk bercerai pada 27 Jun 2012.

Linda Rafar

Linda memilih pemandu go-kart kebangsaan, Keifli Othman sebagai pasangan hidupnya pada 1 Mei 1999.

Rumah tangga pasangan ini hanya mampu bertahan selama selama lima tahun saja dan mereka bercerai talak satu pada 5 Ogos 2004.

Perkahwinan ini dikurniakan dua anak iaitu Rezaril Keflin dan Rezaimen Kiflin Kifli. Anak keduanya mening­gal dunia pada tahun lalu akibat kanser perut.

Erin Malek

Pelakon remaja ini mengakhiri zaman solonya dengan pelumba go-kart, Mohamed Farriz Mohamed Fauzy pada 10 Oktober tahun lalu.

Pasangan ini baru sahaja menimang cahaya mata lelaki dinamakan Mohamed Faliq Mohamed Farriz pada 1 Oktober lalu.

Mereka sepatutnya dikurniakan anak kembar, malangnya seorang lagi bayi pasangan ini tidak dapat di­selamatkan kerana meninggal di dalam kandungan.

– See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89597#sthash.9VHR7otK.dpuf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");