Perak Hari Ini

ASAT Iktiraf Asrama-Asrama Sekolah Harian

TAIPING: Majlis Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan memberi pengiktirafan buat asrama-asrama sekolah harian yang berjaya mencapai tahap yang ditetapkan pihak kementerian, semalam.

Majlis yang diadakan di Taiping Golf Resort merupakan acara kemuncak bagi Kursus Bakal Pemimpin Murid Asrama (Student Leader Board/SLB) yang disertai seramai 180 orang murid-murid dari pelbagai sekolah.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Sri Dr Khair Mohamad Yusof, tujuan program SLB ini adalah untuk membina kepimpinan dalam kalangan murid-murid yang terlibat.

“Malam ini kita ada 180 murid yang telah dilatih dalam aspek-aspek kepimpinan seperti protokol, pengucapan awam, bagaimana nak melakukan kemajuan,menguruskan mesyuarat dan sebagainya.

“Hal ini supaya apabila mereka menjadi pemimpin asrama pada tahun hadapan, mereka dapat meneruskannya dengan kesediaan yang ada”, ujar beliau.

Tambah Dr Khair lagi selain sebagai tempat tinggal harian, Kementerian turut berusaha menjadikan asrama harian sebagai satu tempat pembentukan dan pembangunan modal insan murid untuk menjadi seorang warga yang cemerlang.

Selain itu, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pelajar-pelajar cemerlang di luar bandar yang terpinggir akan turut mendapat peluang untuk belajar di sekolah berasrama.

“Kes-kes murid cemerlang yang terpinggir itu perlu disalurkan kepada pejabat pendidikan daerah berkenaan, dan mereka akan bantu untuk salurkan murid-murid berkenaan masuk ke asrama ini.

“Jadi ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak. Saya juga terlibat dalam mengenal pasti pelajar cemerlang yang terlupa memohon masuk ke asrama atau yang mohon tak dapat dan kita cuba bantu mereka untuk masuk ke sekolah asrama”, tambah beliau.

Sebanyak 23 buah asrama telah dinilai oleh Panel Penilai yang dilantik oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian,KPM dengan menggunakan instrumen Standard Kualiti Pengurusan Asrama (SKPA).

Lima buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah telah terpilih sebagai penerima anugerah ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");