Panasnya Hari Ini

Bajet 2016: Penambahbaikan Infrastruktur Logistik dan Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia termasuklah Lebuhraya Damansara – Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road.

Katanya, sebanyak RM900 juta diperuntukan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.

“Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka.

“Seterusnya, sebanyak RM42 juta disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka,” katanya.

Tambah beliau lagi, sistem pengangkutan awam yang efisien sedang rancak dibangunkan demi keselesaan penduduk di kawasan bandar yang mana ianya melibatkan peruntukan yang besar.

“Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer (km), akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 km pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai RM10 bilion.

“Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula juga dapat digunakan pada bulan Disember tahun 2016. Manakala, Fasa 2 Semantan – Kajang dengan jarak 51 km dijangka siap pertengahan 2017 dengan menelan kos RM32 bilion,” katanya lagi.

Sementara itu, ujar beliau lagi, hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain antaranya Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 km.

“Ia akan memanfaatkan dua juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan RM28 bilion. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022.

“Selain itu, projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 km juga akan mula dibina pada 2016 dan dijangka siap pada 2020. Ini akan memanfaatkan dua juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan RM10 bilion,” jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata lagi, bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi RM1.5 bilion, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir RM1 bilion akan dilaksanakan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");