Berita Hari Ini

BAKTI, PERMATA sumbang RM62,000 kepada keluarga 7 murid Orang Asli

KOTA BHARU: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia Yayasan Permata Negara (PERMATA) hari ini menyerahkan sumbangan RM62,000 kepada anggota keluarga tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang yang hilang di dalam hutan pada Ogos lalu.

Keluarga dua mangsa yang terselamat masing-masing menerima RM6,000 manakala lima keluarga lagi menerima RM10,000 setiap keluarga. Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata, di Auditorium Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Pengerusi Badan Amal Dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kelantan (PENAWAR), Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Nik Man Nik Ya dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Terdahulu, Rosmah beramah mesra bersama dua murid SK Tohoi yang terselamat iaitu Miksudiar Alui, 11, dan Norieen Yaakob, 10.

Rosmah turut menyuapkan ayam goreng kepada Miksudiar yang ditempatkan di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu selepas kanak-kanak berkenaan meminta makanan itu daripada beliau.

Miksudiar dan Norieen adalah antara tujuh murid SK Tohoi di Gua Musang yang dilapor melarikan diri dari asrama sekolah pada 23 Ogos lalu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru kerana mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.

Dua lagi murid, Sasa Sobrie, 8, dan Ika Ayel, 9, disahkan meninggal dunia manakala dua rangka turut ditemui tetapi masih belum dikenal pasti.

Tiga lagi murid dalam insiden itu adalah Linda Rosli, 8, Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7.

Sementara itu, bapa Ika, Ayel Ajib, 40, berkata dia sukar menerima hakikat kematian anaknya itu yang meninggal dunia kerana kelaparan selepas tersesat di dalam hutan selama lebih 40 hari.

“Saya tak boleh terima cara kematian anak saya.. bagi saya ia cukup menyayat hati. Kalau dia meninggal dunia kerana sakit, itu cerita lain.

“Bagaimanapun, kami terpaksa reda dengan pemergiannya dan mayatnya akan dikebumikan di Kampung Penad selepas menjalani ujian DNA,” kata bapa kepada 10 orang anak itu ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Bapa Sasa, Sobrie Latif, 25, pula berterima kasih kepada isteri perdana menteri yang tampil menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Walaupun sukar untuk melupakan kejadian yang menimpa anaknya itu, namun dia pasrah menerima takdir dan meneruskan kehidupannya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");