Membawang Hari Ini

Pencipta lagu P Ramlee dihargai

GELUGOR: Bagi menghargai jasa pencipta lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) mengadakan Pameran Datuk Ainul Jamal bermula dari 12 Oktober hingga 12 November depan di MGTF.

Ainul bukan sahaja pencipta lagu, bahkan beliau juga merupakan seorang rakan rapat seniman negara berkenaan.

Antara lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang dihasilkannya adalah lagu Saat Yang Bahagia yang dinyanyikan P Ramlee dan juga Saloma.

Ainul berkata, beliau begitu rapat dengan Allahyarham kerana P Ramlee adalah anak angkat kepada arwah bapanya.

“Kami bertambah rapat bila saya ke Singapura melanjutkan pengajian dan ketika itu P Ramlee bekerja dengan Shaw Brothers.

“Setelah kembali ke Malaysia, P Ramlee meminta saya mencipta sebuah lagu untuknya dan terhasillah lagu pertama yang dicipta dalam masa singkat iaitu Kisah Rumahtangga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Datuk Ainul Jamal di MGTF.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Muhamad Jantan, TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Adnan Hussein dan Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan.

Ainul anak kelahiran Matang, Perak sememangnya meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah.

Beliau juga pernah menjuarai pertandingan nyanyian Annual Talentime di King Edward VII School, Taiping Perak ketika berumur 15 tahun.

Mencecah usia 80 tahun, Ainul terharu dengan penghormatan yang diberikan dan berharap langkahnya mengangkat bidang penciptaan karya seni akan diteruskan oleh generasi muda hari ini.

“Orang dulu selalu berkata, apa yang kita semai, itulah yang kita tuai dan pepatah itu memang benar sama sekali.

“Segala hasil yang dilihat pada hari ini adalah berkat usaha dan dorongan semua ke arah memartabatkan karya anak jati kita.

“Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan dalam membuka ruang untuk saya sama-sama menjayakan pameran ini,” katanya.

Sementara itu, Muhamad pula berkata, hasil karya Ainul Jamal masih mendapat tempat di hati peminat hingga kini.

Menurutnya, ia kerana hasil karyanya halus, penuh makna dan menyentuh jiwa.

“Kita juga amat berharap beliau akan terus berkarya dan menyumbang idea-idea yang segar dan hidup walau pun telah dibatasi usia dan keadaan fizikal yang kurang mengizinkan.

“USM akan terus memberi sokongan dalam rangka usaha menjalin kerjasama dua hala bagi memperkembangkan bidang seni kreatif khususnya bidang muzik dan pengarahan untuk melahirkan pelapis dan bakat baru,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");