Sukan Hari Ini

Boleh menang!

Kuala Lumpur: Penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dramane Traore percaya rakan sepasukannya walaupun tanpa kelibatnya mampu menewaskan Pahang dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

Traore, penjaring utama PDRM musim ini, sekali lagi terpaksa menjadi penonton akibat kecederaan lutut yang memerlukan seminggu lagi tempoh rehat.

Dia turut tidak beraksi ketika pasukannya mengalahkan Pulau Pinang 3-2, di Stadium Bandaraya, 17 Oktober lalu.

“Saya memang berkobar-kobar dan tidak sabar hendak kembali beraksi. Apatah lagi dalam keadaan PDRM yang sangat memerlukan kemenangan untuk membuka peluang ke suku akhir.

“Saya rasa sudah pulih sepenuhnya, tiada lagi kesakitan semasa berlari atau menendang bola. Memang diikutkan hati, saya hendak sangat bermain menentang Pahang.

“Tapi, saya terpaksa akur dengan nasihat doktor yang mengarahkan supaya berehat seminggu lagi. Ini bermakna saya hanya akan dapat beraksi dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang PKNS,” kata Traore.

Traore berkata keputusan perlawanan dengan Pahang malam ini sangat penting kerana bakal menentukan hidup mati PDRM dalam Piala Malaysia. Pasukan itu kini mengekori PKNS dan Pahang di tangga ketiga dengan lima mata.

Sebarang kekalahan malam ini akan menyukarkan laluan The Cops untuk ke suku akhir, malah sudah pasti akan ditunjuk jalan keluar jika kekalahan itu diiringi pula dengan kemenangan PKNS ke atas Pulau Pinang pada malam sama.

Bagaimanapun penyerang berasal dari Mali itu menaruh keyakinan tinggi rakan sepasukannya mampu melakar kemenangan ke atas Pahang meskipun tanpa kelibatnya.

“Ketiadaan saya bukan masalah besar PDRM. Pemain seperti Ali (Ashfaq) dan (Mohamadou) Sumareh boleh diharapkan untuk menjaring gol. Mereka sudah membuktikannya pada perlawanan menentang Pulau Pinang apabila kami menang 3-2.

“PDRM mempamerkan prestasi terbaik ketika mengalahkan Pulau Pinang walaupun tanpa saya. Jika pemain dapat mengekalkan prestasi dan semangat sama, tiada masalah untuk mengalahkan Pahang. Apatah lagi Pulau Pinang dan PKNS sudah membuktikan Pahang tidak sekebal mana,” kata Traore.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");