Berita Hari Ini

Cegah Hakisan Pantai Tok Jembal

KUALA NERUS – Kerajaan negeri meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat cadangan lengkap bagi meneruskan projek mencegah hakisan pantai di Pantai Tok Jembal untuk fasa ketiga.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, fasa ketiga melibatkan Tanjung Gelam hingga ke Tepuh itu akan turut dilaksanakan berikutan kawasan berkenaan turut terjejas akibat hakisan.

“Saya telahpun minta JPS sediakan proposal lengkap untuk selesaikan masalah hakisan di kawasan ini (Tanjung Gelam hingga ke Tepuh) untuk kita ketahui kos yang diperlukan sebelum dibawa ke peringkat pusat.

“Kita lihat keberkesanan (melalui projek mencegah hakisan) dalam projek fasa kedua melibatkan kawasan Tok Jembal ke Tanjung Gelam, di mana projek berkenaan telah hampir 70 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya Mei tahun depan.

“Oleh itu, melihat akan projek yang berjalan lancar ini, kita ambil keputusan untuk teruskan fasa ketiga dan projek ini akan melibatkan JPS serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Tapak Projek Pemecah Ombak Tok Jembal di Pantai Tok Jembal, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JPS Terengganu, Ir C Poobolan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Anuar Hassan dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Tak jejas aktiviti nelayan

Menurut Ahmad Razif lagi, projek fasa kedua yang menelan kos lebih kurang RM70 juta itu melibatkan kawasan Pantai Tok Jembal ke Tanjung Gelam sejauh 4.3 kilometer.

“Kerajaan negeri sememangnya memandang serius masalah hakisan ini dan akan memastikan perkara ini ditangani sebaiknya bagi mengelak lebih banyak kawasan pantai terhakis terutamanya pada musim tengkujuh.

“Malah, dengan adanya kerjasama antara ketiga-tiga pihak iaitu Kerajaan negeri, UMT dan JPS nanti akan memastikan usaha untuk tangani hakisan akan dapat dilakukan dengan sebaiknya,” katanya.

Ahmad Razif dalam perkembangan sama turut memberi jaminan bahawa projek mencegah hakisan melalui pembinaan pemecah ombak tidak akan menjejaskan aktiviti nelayan, sebaliknya akan membantu golongan tersebut.

“Golongan nelayan tak perlu bimbang dengan projek yang sedang berjalan ini kerana ia tidak akan mengganggu aktiviti mereka untuk mencari rezeki, sebaliknya kita bantu mkembalikan semula pantai yang telah terhakis.

“Malah, kita juga percaya apabila siap projek pemecah ombak ini, kawasan yang terlibat bakal menjadi popular sebagai tempat memancing nanti,” katanya.

Hilang dalam 15 tahun

Isu hakisan Pantai di Tok Jembal sebelum ini hangat diperkatakan setelah satu kajian simulasi kelautan dibuat oleh Penyelidik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT mendapati Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu dan kawasan di sekitarnya
yang dihuni ratusan penduduk, mungkin akan hilang ditelan laut dalam tempoh 15 tahun jika masalah hakisan pantai tidak diberi perhatian.

Hakisan yang mula dikesan sejak 2010 itu bertambah teruk sejak beberapa tahun belakangan ini terutamanya pada musim tengkujuh.

Awal tahun ini, UMT kerugian lebih kurang RM20 juta akibat hakisan pantai yang telah memusnahkan beberapa aset penting termasuk bangunan Stesen Penyelidikan Tenaga Keterbaharuan milik universiti berkenaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");