Membawang Hari Ini

Dayana tidak mahu hipokrit

Seiring populariti dikecapi kini, pelakon Dayana Roza, 24, perlu akur apabila setiap inci kehidupannya turut menjadi perhatian terutama membabitkan kisah percintaan.

Selepas enam bulan putus cinta dengan pemain bola sepak kebangsaan Muslim Ahmad, pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia ini sudah bertemu pengganti.

Bagaimanapun, Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin belum sedia berkongsi lanjut identiti jejaka yang dikenali sebagai Hafiz itu.

“Betul saya kini sedang bercinta. Perhubungan kami masih baru iaitu kira-kira dua bulan. Cukuplah peminat tahu saya sudah ada kekasih, selebihnya biarlah rahsia.

“Pengalaman lalu mengajar saya banyak perkara. Jadi untuk kali ini saya perlukan sedikit privasi. Saya sudah malas nak bercerita banyak, kerana apabila terjadi apa-apa kelak saya juga yang malu,” katanya.

Keterbukaan Dayana berkenaan statusnya bertujuan supaya dia tidak dianggap penipu oleh segelintir peminat.

“Kalau saya nafikan perkara itu dan kebetulan ada peminat ternampak atau terserempak saya bersama kekasih, pasti tang­gapan mereka lain.

“Saya tak nak bersikap hipokrit dengan peminat dan media. Jadi lebih baik saya berterus terang. Lambat laun perkara ini akan diketahui juga,” katanya.

Tambah Dayana, sejak bercinta dengan kekasih barunya, dia tidak pernah mendedahkan secara langsung jejaka itu.

“Kalau perasan saya jarang memuat naik gambar bersama. Kalau ada pun saya tak tulis dia teman lelaki saya. Pada saya, bagi yang mengetahuinya pasti faham,” katanya.

Bercerita lanjut berkenaan hubungan mereka, Dayana kini semakin gembira dan bahagia berbanding ketika baru putus cinta.

Menurut Dayana, dia dan teman lelakinya belum mempu­nyai sebarang perancangan untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius.

“Jujurnya saya sangat kecewa apabila putus. Boleh dikatakan hidup saya tak keruan. Ketika itu saya cakap dalam diri tak nak bercinta lagi dalam masa terdekat tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Cuma kali ini saya tak mahu terlalu mengharap. Kalau antara kami ada jodoh, adalah. Bukan apa saya takut perkara sama berulang kembali,” katanya.

Pelakon filem Apokalips X ini turut memberitahu kekasihnya sangat memahami kerjayanya sebagai pelakon malah jauh sekali mengongkong hidupnya.

“Saya pun nak macam orang lain juga apabila ada seseorang yang sentiasa mengambil berat. Saya bersyukur apabila dia ­sangat memahami kerja saya yang tak menentu waktu.

“Kalau nak tahu, kadang-kadang kami tak sempat nak luang­kan masa bersama pun,” katanya.

Berkenaan kerjaya seninya, Dayana baru selesai menjalani penggambaran drama 30 episod berjudul Memori Cinta #3 bagi saluran HyppTV.

Selepas berehat beberapa hari, Dayana kini sibuk di lokasi penggambaran drama bagi Slot Samarinda TV3 iaitu Demi Allah Aku Pilih Kamu.

“Setiap pelakon sentiasa menanti peluang melakonkan watak utama. Apabila saya sudah beberapa kali diberi tanggungjawab itu, saya bersyukur sangat.

“Bukan nak kata saya bagus, tapi ia adalah rezeki. Peluang sebegini bukannya selalu datang, jadi saya tak mahu persiakan kesempatan diberikan,” katanya.

Drama arahan pelakon versatil Zulhuzaimy itu memberi cabaran berbeza buat Dayana.

“Watak saya dalam drama sebelum ini sangat santai. Apabila masuk lokasi drama baru ini, saya ambil masa nak ubah ‘mood’ dan karakter. Melakonkan watak air mata dan beremosi bukannya mudah.

“Jadi saya perlu fokus. Jika emosi disampaikan tak betul, saya rasa diri gagal dan ia membuatkan saya tertekan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");