Membawang Hari Ini

Dennis si drakula kecil

SONY Pictures Animation kembali mempertaruhkan filem animasi komedi, Hotel Transylvania 2, dengan mengekalkan suara pelakon utama, Adam Sandler yang sememangnya terkenal dengan filem-filem komedi.

Bukan sahaja untuk tontonan kanak-kanak, filem ini juga dicipta untuk menarik orang dewasa, sekaligus menjadikannya filem tontonan seisi keluarga yang sangat menghiburkan.

Masih berkisarkan tentang kehidupan drakula, Count (Adam Sandler) di Hotel Transylvania, kali ini plot cerita tertumpu dengan kehadiran cucunya, Dennis (Asher Blinkoff) hasil perkahwinan anaknya, Mavis (Selena Gomez) dengan manusia yang bernama Johnny (Andy Samberg). Kekalutan mula timbul apabila Dennis bakal mencecah usia lima tahun dan Count sangat risau sekiranya cucunya itu tidak berkembang menjadi drakula. Sementara Mavis pula lebih selesa anaknya itu hidup sebagai manusia normal dan nekad berpindah ke California setelah merasakan Hotel Transylvania itu tidak selamat untuk anak kecilnya itu.

Di saat Mavis cuba mencari kesesuaian dengan kehidupan manusia di kota itu, Count pula mengatur strategi bersama rakan-rakannya, Frankenstein (Kevin James), Mummy (Keegan-Michael Key), Wolfman (Steve Buscemi), dan Invisible Man (David Spade). Mereka mencipta satu pengembaraan hebat untuk menjadikan Dennis seorang drakula.

Seperti filem pertama, pengembaraan ini digarap dengan penuh aksi dan komedi tanpa henti. Ada sahaja aksi mereka yang mengundang tawa penonton. Siapa sangka pengarahnya, Genndy Tartakovsky, bijak menjadikan teknologi masa kini sebagai bahan jenaka, terutama ketika babak Count menggunakan telefon bimbit dengan sistem GPS. Punchline demi punchline timbul setiap kali jalan yang mereka lalui salah.

Tidak setakat itu, penonton terus digeletek dengan aksi mereka menerusi beberapa tempat persinggahan, termasuk hutan gelap dan menara usang yang menjadi percubaan berani mereka.

Klimaks filem diteruskan dengan kehadiran bapa Count, yang merupakan Dracula Vlad, dengan watak yang jahat dan sangat mementingkan keturunan asal mereka.

Tidak melupakan hero-hero animasi lama, filem ini turut mengambil imej Cesar Romero dari TV Batman dan watak drakula jahat lakonan Gary Oldman yang dimainkan pada 1992.

Menepati filem animasi, Hotel Transylvania 2, juga penuh warna-warni menerusi gambar watak dan kostum yang direka khas seperti mana Count dan rakan-rakannya.

Malah, kewujudan watak Dennis yang comel itu sendiri menjadi tarikan utama, yang mana aksi anak kecil sepertinya mampu mencairkan hati sesiapa sahaja yang menontonnya!

Mesej kekeluargaan

Di sebalik komedi orang dewasa, filem ini sebenarnya punya mesej yang sangat besar untuk dihayati. Ia tetap tertumpu pada institusi kekeluargaan yang mana hubungan dan keturunan amat dititikberatkan.

Hubungan kasih sayang orang tua terhadap anaknya begitu kuat. Ia dapat dilihat menerusi sikap Mavis dan Count. Meskipun berbeza pendapat, namun tujuannya tetap sama iaitu melindungi orang tersayang.

Secara ironinya, filem ini juga memberi gambaran terhadap kehidupan manusia yang dilihat indah dan ‘normal’, namun hakikatnya sebaliknya. Ia dapat dilihat menerusi keluarga Johnny.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");