Jenayah

Didenda RM14,000 palsukan invois

JOHOR BAHRU: Seorang bekas Pengurus Kanan Jualan didenda RM14,000 dan RM500 kos pendakwaan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah membabitkan dua pertuduhan memalsukan dua dokumen invois proforma membuat tuntutan berjumlah RM27,940.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas pengakuan bersalah direkodkan tertuduh membabitkan tuntutan melebihi jumlah dibenarkan yang dikenakan kepada pelanggan syarikat Sibu Island Resort Sendirian Berhad menjalankan aktiviti serta program di Pulau Sibu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Mohd Shazil Fuad Ibrahim, 34, didakwa membuat dokumen invois palsu bertarikh 21 Mac tahun lalu berjumlah RM43,010 berbanding nilai asal RM35,230 di Sibu Island Resort, Mersing antara 22 hingga 24 Mac tahun lalu.

Ia dengan niat hendak menyebabkan wakil Persatuan Kelab Jetski Negeri Johor, Rosli Ghazali @ Md Sahad, 51, melepaskan wang tunai berjumlah RM43,010 bagi menjalankan Program Ekspedisi Kerja Amal di resort berkenaan.

Ia juga dengan niat hendak melakukan penipuan bahawa dokumen invois proforma yang sama diterima Bahagian Kewangan Sibu Island Resort berbanding nilai asal adalah RM35,230.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Mac lalu didakwa memalsukan invois proforma bertarikh 27 Mac 2014 berjumlah RM119,200 di Pejabat Sibu Island Resort Sendirian Berhad, di sini antara 23 hingga 27 Mac tahun lepas.

Ia dengan niat hendak menyebabkan Penolong Pengurus Sumber Manusia Syarikat Shachiata (M) Sendirian Berhad, Lenny Marlina Khalil, 40, melepaskan wang tunai RM20,160 yang merupakan bayaran Program Lawatan Kerja ke Sibu Island Resort.

Ia juga dengan niat melakukan penipuan bahawa dokumen invois proforma itu menunjukkan jumlah bayaran tanpa mengambil kira bayaran pengankutan dan baucer hadiah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Fazlin Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");