Membawang Hari Ini

Gementar nanti reaksi penonton

Tinggal seminggu saja lagi pementasan teater adaptasi Tenggelamnya Kapal Van der Wijck akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur. Bukan saja barisan pelakon dan kru merasai debarannya, pengarah pementasan ini, Azhar Zainal turut gementar menanti reaksi penonton.

Apatah lagi, pementasan kisah cinta menyayat hati ini berskala besar dan diangkat daripada karya agung Profesor Dr Hamka.

Namun, kata Azhar dia lebih suka melihat setiap perkara dari sudut positif kerana sudah memberikan yang terbaik mengikut kemampuan diri.

“Terus terang, saya gementar menanti maklum balas penonton. Paling membimbangkan, jika barisan pelakon tidak dapat menyesuaikan diri dengan ruang pentas Panggung Sari yang besar.

“Justeru itu, saya perlu pastikan setiap pelakon dapat seimbangkan pembawakan karakter masing-masing dengan ruang pentas ini. Ikutkan, naskhah ini besar dan boleh dibahagikan kepada dua iaitu zaman kejatuhan dan kebangkitan watak utamanya, Zainuddin.

“Bagi kesesuaian pementasan teater ini, pihak kami padatkan setiap babak untuk menjadikannya lebih menarik,” katanya yang sebelum ini bertindak sebagai penolong pengarah teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

Ditanya sama ada barisan pelakon dan kru sudah bersedia selepas sebulan menjalani latihan, Azhar menjelaskan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Setakat ini, latihan giat dijalankan. Soal lakonan, rata-ratanya sudah bersedia. Barisan pelakon juga akan menjalani latihan intensif dengan kostum dan props lengkap di Panggung Sari bermula 9 Oktober ini.

“Saya yakin keserasian antara Amar Baharin dan Nabila Huda boleh dipertingkatkan lagi. Pertama kali beraksi di pentas teater, Amar bekerja keras menjiwai watak Zainuddin sebaik mungkin.

“Kelebihan Nabila pula, dia memang pelakon berbakat besar dan berpengalaman di pentas teater. Saya percaya selepas seminggu latihan di pentas nanti, mereka mampu memberikan persembahan lebih baik,” katanya.

Apapun, kata Azhar, kejayaan sebuah pementasan juga membabitkan kerjasama berkumpulan.

“Selain kekuatan barisan pelakon, tenaga kru produksi turut memainkan peranan penting. Ia juga membabitkan penggunaan props, CGI dan kostum yang dipakai mengikut kesesuaian zaman itu.

“Pementasan ini dihangatkan lagi dengan rangkaian lagu merdu ciptaan komposer terkenal Pak Ngah, Afif dan Faizal iaitu Bumi Pusaka, Hanya Kau Di Hati, Surat Aziz, Kemasyuran, Pergilah, Dugaanku, Lafaz Hati dan Anak Pisang,” katanya.

Selain Amar yang menjayakan watak Zainuddin dan Nabila (Hayati), teater ini turut dibintangi Syarul Ridzwan (Muluk), Karl Shafek (Aziz), Amyra Rosli (Khadijah), Rasdi Daud (Datuk Penghulu Adat) dan Bohari Ibrahim (Datuk Garang).

Pementasan terbitan CTRA Production dan GenSem dengan kerjasama IB ini akan berlangsung pada pada 12 hingga 18 Oktober 2015.

Harga tiket untuk menyaksikan teater ini dijual pada harga RM37.10, RM58.30, RM90.10, RM124.90, RM164.30 dan RM270.10. Keterangan lanjut mengenai tiket boleh diperolehi di kaunter tiket IB, atau secara online di airasiaredtix.com serta laman Facebook/Instagram CTRA Production.

Nabila banyak bermain emosi

Bukan saja berat, watak Hayati banyak bermain dengan emosi dalaman sekali gus mencabar lakonan Nabila dalam pementasan ini.

Pelakon serba boleh ini mengakui banyak menangis untuk menjiwai karakter Hayati seperti yang dikehendaki skrip.

“Saya bawa watak Hayati, gadis Minangkabau yang menjadi kekasih sehidup semati, Zainuddin. Hayati digambarkan sebagai anak bangsawan yang pada mulanya pemalu, tetapi berubah menjadi moden apabila berkahwin secara paksa dengan Aziz iaitu abang kepada kawan baiknya, Khadijah.

“Ini kali kedua saya beraksi di pentas teater selepas Natrah 2 kira-kira empat tahun lalu. Sudah pasti penampilan saya kali ini berbeza kerana ia berlatarbelakangkan era 30-an.

“Banyak aspek perlu diambil kira termasuk penggunaan bahasa yang berbeza daripada zaman sekarang serta berdepan dengan aktivis teater veteran seperti Rasdi Daud dan Bohari Ibrahim. Saya juga berdebar ketika berdialog dengan mereka. Kami juga mendapat bimbingan pengarah, Azhar dan koreografer A Aris A Kadir,” katanya.

Meskipun sudah lama dalam bidang lakonan, Nabila tidak menafikan berdepan cabaran besar sepanjang merealisasikan watak Hayati.

“Selain masalah bahasa, saya juga perlu menjalani penggambaran dalam air untuk babak kapal yang dinaiki Hayati tenggelam.

“Walaupun ia bukan halangan besar kerana saya seorang penyelam skuba, namun beberapa aksi yang diperlukan untuk sesi penggambaran sangat penting terutama ketika selendang yang dipakai hilang,” katanya.

Mengenai gandingannya dengan Amar, Nabila percaya mereka mampu mendapatkan keserasian untuk watak pasangan kekasih.

Setiap pelakon ada kelebihan masing-masing. Saya percaya Amar mampu menjiwai watak Zainuddin dengan baik.

“Sebagai pelakon, saya juga gementar ketika menjayakan babak nyanyian dalam teater ini dan kami saling menutupi kelemahan masing-masing untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Sinopsis

Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini ini memaparkan perjalanan hidup Zainuddin, anak yatim piatu dan golongan miskin yang datang ke Minangkabau iaitu tempat asal ayahnya.

Namun, kedatangannya tidak diterima baik penduduk setempat. Dia dianggap tidak memiliki pertalian darah dengan keluarganya di Minangkabau kerana ibunya wanita Bugis.

Zainuddin berasa terasing dan kerap mencurahkan kesedihannya dalam surat yang dititipkan kepada Hayati, wanita keturunan bangsawan Minang. Ketika cinta mula berputik, Zainuddin berpindah ke Padang Panjang selepas keluarga Hayati memintanya keluar dari Batipuh.

Sebelum berpisah, Hayati sempat berjanji untuk setia dengan Zainuddin. Sewaktu Hayati berkunjung ke Padang Panjang untuk berjumpa Zainuddin, dia menginap di rumah sahabatnya, Khadijah. Namun, sekembali dari Padang Panjang, Hayati diminta keluarganya menerima pinangan Aziz, abang Khadijah.

Meskipun mencintai Zainuddin, Hayati terpaksa menerima Aziz sebagai suaminya. Mengetahui Hayati sudah bernikah dan mengkhianati janjinya, Zainuddin yang berputus asa pergi ke Jawa dan Surabaya bersama temannya, Muluk. Di perantauan, Zainuddin menjadi penulis terkenal.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");