Isu Panas

Hudud: MB Kelantan enggan letak jawatan

PETALING JAYA: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob tidak akan meletak jawatan yang disandangnya ekoran kegagalan kerajaan pimpinan Pas melaksanakan hudud di negeri itu.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata, tanggungjawab beliau untuk membuat persediaan serta membawa perkara berkenaan ke peringkat tertinggi telah selesai.

“(Soal letak jawatan) itu apabila kita tidak dapat membuat persiapan. Sekarang ini kita telah siap semua. Pindaan (Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) di Dewan Undangan Negeri) telah buat, (telah) selesai.

“Yang menghalang (pelaksanaan hudud), kerana kita tidak dapat buat pindaan terhadap Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Itu bukan tanggungjawab kita, jadi bahagian saya telah selesai,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

Ahmad berkata demikian mengulas mengenai janjinya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lepas yang menyatakan beliau sanggup melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan jika masih gagal melaksanakan hukum hudud di Kelantan tahun ini.

Ditanya mengenai kemungkinan usul undang-undang persendirian dapat dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat ketika undi anggota Parlimen Pas semakin berkurangan selepas ada segelintir daripada calon parti itu melompat ke parti lain, Ahmad berkata, perkara berkenaan tidak melibatkan masalah parti.

“Ini bukan masalah parti atau bangsa, ini masalah orang Islam yang sepatutnya menyokong undang-undang Allah. Asal dia Islam, dia tidak terkecuali, itu yang asas.

“Kita tidak kira apa parti, apa jenis bangsa, asalkan mereka Muslim, mereka patut beri sokongan untuk pelaksanaan hukuman Allah ini,” katanya yang juga ADUN Wakaf Baharu.

– Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");