Berita Hari Ini

Kekal harmoni hubungan dua hala

Kota Kinabalu: Penerapan nilai sosio budaya dalam menangani isu persempadanan antara Malaysia-Indonesia sentiasa diamalkan bagi memastikan hubungan dua hala kedua-dua negara mampu dikekalkan dalam suasana harmoni.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kedua-dua negara harus lebih proaktif dalam mendekati semua isu persempadanan dan kenegaraan selain perlu ditangani secara diplomasi.

“Kita menyedari bahawa sempadan antara Malaysia-Indonesia ini cukup luas dan keadaan ini mempengaruhi beberapa isu kenegaraan. Seperti undang-undang perairan, keselamatan, perdagangan haram, penyeludupan dadah, aktiviti pemerdagangan manusia dan masalah tenaga kerja.

“Justeru, soal persempadanan ini ditangani secara praktikal agar bermanfaat kepada kedua-dua pihak pada masa datang,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Perbatasan anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISMAWI) di sini, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi ISMAWI Malaysia merangkap Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Zulkefli Salleh; Presiden ISMAWI Indonesia merangkap Direktur Utama ANTARA Saiful Hadi; dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Rais yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) berkata, penganjuran dialog antara dua negara ini disifatkan sebagai dialog serumpun, budaya dan kepentingan bersama bagi membincangkan isu berbangkit sekali gus mencari pendekatan terbaik mengatasi masalah yang wujud di sempadan kedua-dua negara termasuk masyarakat yang masih ‘mundar-mandir’ keluar masuk menyeberangi sempadan.

Terdahulu, dialog yang bertemakan Mengharmonikan Masyarakat Perbatasan itu disertai wartawan Malaysia dan Indonesia. Ia antara lain bertujuan meningkatkan hubungan dan persefahaman wartawan kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Atase Pertahanan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur Kolonel Yudhi Candra Jaya MA berkata, isu persempadanan tidak dialami Malaysia- Indonesia malah negara lain.

Menurut Yudhi Candra, sempadan darat antara dua negara ini terpanjang di Kalimantan iaitu sejauh 2,004 kilometer merangkumi Kalimantan Darat dan Timur.

“Sehingga kini, rundingan antara dua negara dijalankan kerana terdapat perbezaan persepsi terhadap warisan kolonial.

“Kalimantan Timur yang terletak di Pulau Sebatik, Tawau, Sabah sehingga Tanjung Datu di Sarawak sempadan terpanjang di kawasan Kalimantan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");