Isu Panas

‘Kembalikan hak ahli Umno’

MUAR – Pemuda Umno di Bahagian Pagoh mengharapkan kepimpinan tertinggi mereka mendengar suara di peringkat akar umbi agar parti tidak dihukum dengan kekalahan dalam PRU14.

Harapan berkenaan termasuklah memohon kebijaksanaan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menarik balik penangguhan proses pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Jalan Raja, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mewakili 23 Pemuda Umno Cawangan di Bahagian Pagoh berkata, sebelum PRU14, Umno perlu menjadi satu parti yang dipimpin oleh mereka yang mendapat sokongan penuh daripada akar umbi.

Katanya, dengan adanya proses pemilihan terbabit, ia akan mengembalikan hak ahli sendiri bagi menentukan barisan kepimpinan yang bakal berhadapan dengan PRU14 dan bukannya barisan kepimpinan yang saling bercakaran antara satu sama lain.

“Kami di sini, mewakili 23 cawangan Pemuda Umno di Bahagian Pagoh berharap agar kedudukan Presiden, Timbalan Presiden, dan Naib-Naib Presiden ditentukan oleh ahli-ahli akar umbi Umno seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Umno.

“Bagi menjunjung transformasi yang dicetuskan oleh Presiden sendiri, peranan akar umbi dilibatkan dan sebarang usaha untuk menyingkirkan mana-mana jawatan tersebut perlulah melalui proses pemilihan serta bukannya melalui pungutan suara Ketua Bahagian sahaja.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak mengikut Perlembagaan tetapi hanya akan merugikan parti kerana respons negatif akan diberikan oleh ahli akar umbi setelah penentuan ‘survival’ hayat politik Umno ditentukan oleh MT dan Ketua Bahagian sahaja bukan melalui suara akar umbi,” katanya dalam sidang media, semalam.

Menurut Mohamad Fazli lagi, beliau juga berharap agar MT Umno perlu bijak menyelesaikan masalah dan krisis kepimpinan yang sedang melanda parti keramat Melayu ini.

Katanya lagi, Umno di bahagian berkenaan menghormati dan menyokong Presiden dan juga Timbalan Presiden.

Oleh demikian katanya, mereka mahu semua perbalahan, masalah serta yang merugikan parti dapat diselesaikan segera.

“Ia juga termasuklah masalah yang mengaitkan Presiden dengan 1MDB ini, di mana pada pandangan kami ia perlu diselesaikan segera sebagaimana gesaan Raja-Raja Melayu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");