Berita Hari Ini

Mahasiswa kumpul lagi sokong Azmi Sharom

KUALA LUMPUR – Lebih 20 ahli Kumpulan Progresif Universiti Malaya (UM) berkumpul bagi menunjukkan solidariti terhadap Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom yang akan hadir ke Mahkamah Persekutuan esok atas tindakannya mencabar kesahan Akta Hasutan.

Himpunan yang turut menggesa Akta Hasutan 1948 dimansuhkan itu diadakan di hadapan lobi utama fakulti undang-undang universiti berkenaan, hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Progresif UM, Vince Tan, tujuan pihaknya mengadakan himpunan itu atas semangat kebersamaan mereka dengan Dr Azmi dalam memperjuangkan hak kebebasan akademik.

“Kami berkumpul di sini (UM) adalah tanda solidariti bersama Dr Azmi bagi mempertahankan kebebasan akademik universiti selain menuntut pemansuhan Akta Hasutan 1948.

“Kami pernah adakan himpunan #Solidariti4AzmiSharom setahun lalu dan matlamat kami masih sama pada hari ini. Kebanyakan daripada kami adalah pelajar undang-undang yang diajar oleh Dr Azmi dan kami masih berharap beliau kekal di sini sehingga kami tamat belajar,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 24 Mac lalu menangguhkan penghakiman sama ada Akta Hasutan 1948 selari dengan perlembagaan dalam kes tuduhan ke atas Dr Azmi.

Perkara itu menjadi pertikaian kerana Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara.

Kes tersebut bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Azmi dituduh mengikut Akta Hasutan atas kenyataan yang dibuat menerusi satu tulisan berhubung krisis menteri besar Selangor, tahun lalu.

“Jika Dr Azmi peroleh kemenangan dalam kes tersebut, bermakna rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk bersuara. Ia bermaknan Akta Hasutan tidak lagi boleh digunakan bagi menyekat suara rakyat.

“Dan sekiranya Dr Azmi tidak menang dalam perbicaraan esok, ini bermakna akan ramai di antara kita yang akan terus berjuang dalam menuntut kebebasan hak bersuara pada masa depan,” ujar Vince lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");