Jenayah

Mayat cukup anggota badan

Gua Musang: Pengarah Hospital Gua Musang (HGM) Dr Nik Mohd Faizal Zainal Abidin mengesahkan mayat kanak-kanak perempuan Orang Asli yang diterima untuk bedah siasat, kelmarin, cukup anggota badan.

“Pihak kami menerima mayat jam 9.30 malam dan bedah siasat dimulakan pada 12 tengah malam.

“Ia dalam keadaan sempurna, tiada cacat cela. Hanya membengkak kerana dianggarkan berada dalam air antara tujuh hingga 14 hari,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HGM, di sini, semalam.

Dr Nik Mohd Faizal berkata, bedah siasat dilakukan selama sejam yang turut dibantu pasukan patologi dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu terdiri daripada seorang pakar, dua pegawai perubatan dan seorang penolong perubatan.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas,” katanya.

Dalam pada itu, Koperal Nicholas Langit @ Alex yang menjadi petugas keselamatan terawal mengeluarkan mayat mengakui terpaksa meredah arus deras Sungai Perias tanpa dibantu alat keselamatan sempurna.

Beliau yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang berkata, mayat tersepit pada ranting kayu dan sukar dikeluarkan kerana berada di celah batu.

“Kawasan di situ pula bergaung dan kami terpaksa membuat trek untuk turun sehingga 30 meter. Air sungai deras dan dalam, manakala mayat pula tersangkut, maka saya terpaksa menyelam untuk mengeluarkannya.

“Rakan petugas keselamatan lain seramai 17 orang turut membantu apatah lagi cuaca semakin gelap ketika itu. Orang kampung pun tidak berani menghampiri kawasan itu kerana gaung dan arus deras,” katanya.

Mayat itu ditemui penduduk kampung yang memaklumkan kepada petugas mencari dan menyelamat (SAR) di Pos Tohoi, kira-kira 7 malam.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");