Jenayah

Niat berunding berakhir tragedi

BENTONG: Seorang lelaki tidak menyangka niat untuk berunding dengan pemilik bengkel selepas berasa dirinya tertipu, berakhir tragedi.

Lelaki yang enggan dikenali itu mendakwa telah dipukul pemilik bengkel terbabit menggunakan gari tangan.

Menurutnya, kejadian bermula dari bulan lalu di mana keretanya secara tiba-tiba rosak di bandar Bentong.

“Kawan cadangkan saya hantar kereta ke bengkel di Jalan Kuala Lumpur Lama.

“Sampai di bengkel itu, pemilik bengkel tiada. Saya tinggalkan kereta di situ untuk pergi kerja,” katanya.

Setelah pulang dari kerja, lelaki berusia 28 tahun itu mengambil kembali kereta miliknya di bengkel terbabit.

“Saya jumpa pemilik bengkel dan dia beritahu kereta saya perlu diperiksa gunakan satu mesin digital besar sebab masalah ‘wiring’.

”Pemilik bengkel cadangkan saya tinggalkan kereta dua minggu untuk pemeriksaan. Dia kenakan bayaran lebih RM2,000,” katanya.

Kerana tidak bersetuju dengan cadangan terbabit, mangsa membuat keputusan untuk mengambil keretanya tanpa perlu dibaiki.

“Pemilik bengkel minta saya bayar RM150 sebab gunakan mesin digital untuk periksa kereta saya.

“Saya minta pemilik bengkel tunjuk bukti rekod pemeriksaan. Dia beritahu tidak ada rekod terbabit,” katanya.

Merasakan dirinya tertipu, mangsa hanya membayar RM50 dari harga ditetapkan.

“Pemilik bengkel itu tidak puas hati dan marah saya selain bertindak kurang ajar,” katanya.

Mangsa kemudiannya menghantar keretanya ke sebuah bengkel di Kuala Lumpur dan diberitahu bahawa keretanya cuma mengalami masalah wayar bateri tercabut.

“Setelah wayar bateri itu disambung semula, kereta saya boleh berfungsi seperti biasa,” katanya.

Merasa tidak berpuas hati kerana telah ditipu pemilik bengkel terbabit, mangsa kemudiannya bertindak untuk bertemu semula dengan pemilik bengkel itu bagi membincangkan perkara terbabit bersama abangnya, kelmarin.

“Semasa berbincang, tiba-tiba pemilik bengkel itu mengamuk, masuk pejabat dan keluar semula bawa gari tangan.

“Dia suruh saya pukul dia dengan gari tetapi saya tak nak kerana saya datang nak bincang, bukan gaduh,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik bengkel itu kemudiannya bertindak melanggar bahu abang mangsa dan berpura-pura jatuh sebelum bertindak mengejar abang mangsa.

“Abang saya berjaya larikan diri tetapi pemilik bengkel pukul saya dengan gari itu.

“Saya kena pukul beberapa kali di sebelah kiri sehingga kepala dan bahagian belakang telinga saya cedera,” katanya.

Mangsa kemudiannya memeluk pemilik bengkel terbabit sambil menggigit bahunya bagi menghalangnya memukul abangnya dan kemudian merampas gari tangan sebelum melarikan diri.

“Salah seorang pekerjanya cuba tahan kami, tapi kami pecut kereta dan terus ke balai polis untuk buat laporan,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan menerima 20 jahitan di bahagian mata serta belakang telinga.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");