Isu Panas

Pas minta kerajaan, Miti jawab isu TRT-ETGO

SHAH ALAM – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menuntut kerajaan Malaysia menjelaskan mengenai penjualan TRT-ETGO kepada Viterra Inc meski ia dibida lebih tinggi oleh syarikat lain.

Khairuddin dalam satu kenyataan berkata, Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) sepatutnya memilih untuk memeterai perjanjian dengan syarikat yang menawarkan bidaan lebih tinggi berbanding Viterra Inc.

“Sedangkan pada 11 Ogos, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa yang menunjukkan minat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan,” katanya.

FGV pada Ogos menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Entreprises de Transformation de Graines Oléagineuses du Québec Inc (TRT-ETGO) dengan nilai C$190 juta atau RM608.2 juta.

Ia telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak bijian terkemuka Kanada, bagi penjualan TRT-ETGO, kilang pemerahan dan penapisan minyak bijiannya di Quebec.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, penjualan itu sejajar dengan pelan transformasi peningkatan perolehan, pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi untuk faedah jangka panjang pihak berkepentingan dan pemegang sahamnya.

Namun dakwa Khairuddin, Bloomberg dalam laporannya menyebut FGV berupaya untuk memperoleh sehingga RM1 bilion hasil melupuskan perniagaan penghancuran dan penapisan (crushing and refining) di Amerika Syarikat dan Kanada yang menarik bidaan antara AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta) selain RM300 juta untuk tiga anak syarikatnya yang lain iaitu Felda Travel, Felda Prodata dan Felda Engineering.

“Saya menuntut agar kerajaan Malaysia atau melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) segera menjelaskan justifikasi yang diperkirakan sehingga perjanjian ini ditermeterai sedangkan wujud bidaan yang lebih tinggi nilainya mencecah RM953 juta.

“Mengapa tidak memilih untuk memeterai perjanjian dengan syarikat yang membida dengan nilai yang lebih tinggi daripada Vilterra Inc. bagi menyempurnakan rancangan menggunakan 50 peratus daripada jumlah hasil jualan itu untuk membayar balik pinjaman, 45 peratus untuk keperluan modal kerja dan 5 peratus untuk anggaran perbelanjaan bagi penjualan itu?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, beliau bersetuju dan menyokong usaha pihak Hal Ehwal Felda Pas Pusat membawa kes ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya Miti gagal menjelaskan keraguan yang ditimbulkan berhubung transaksi jual-beli ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");