Sukan Hari Ini

Wei Feng tekad buru slot Sukan Olimpik

PELUANG pemain perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng untuk beraksi di Sukan Olimpik 2016 tampak semakin malap selepas gagal menampilkan aksi konsisten untuk melonjakkan kedudukannya di ranking dunia.

Bukan mahu menafikan peluangnya namun berdasarkan prestasi semasa, Wei Feng yang kini menghuni anak tangga ke-33 dunia nyata berdepan laluan berliku untuk mencari tiket ke temasya sukan berprestij itu.

Ini juga diakui oleh Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pengarah Teknikalnya, Morten Frost Hansen yang berpendapat dengan ranking semasa Wei Feng ketika ini, mungkin usahanya untuk melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu agak berliku.

Bagaimanapun Wei Feng ketika dihubungi tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk berputus asa.

Sebaliknya, pemain berusia 28 tahun itu menegaskan bahawa keyakinannya tidak akan pudar selagi dia berada di landasan yang benar untuk turut memburu slot Rio de Janeiro tahun depan.

“Saya tahu ketika ini agak sukar untuk layak ke Sukan Olimpik tapi peluang itu tetap ada.

“Selama sebulan saya tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif dan hanya memulakan aksi di Grand Prix Emas Terbuka Thailand minggu lalu tapi itu pun tersingkir awal.

“Apapun, buat masa ini saya perlu realistik sambil berharap dapat bangkit pada kejohanan selepas ini,” katanya.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara dibenarkan menyenaraikan dua pemain perseorangan sekiranya mereka berada kelompok 16 terbaik dunia pada senarai ranking dunia, 5 Mei tahun depan.

Begitu pun, jika tiada pemain negara berjaya dalam kelompok tersebut, hanya seorang pemain negara yang dibenarkan untuk beraksi pada temasya empat tahun sekali itu.

Sehingga kini masih belum ada pemain yang berada dalam kelompok itu namun Wei Feng yang berada di ranking ke-33 dunia ketinggalan agak jauh di belakang pemain utama, Datuk Lee Chong Wei yang kini menghuni tangga ke-24 dunia.

Tinggal lapan bulan

Kelmarin, Norza menyatakan bahawa Wei Feng hanya mempunyai masa lapan bulan sahaja lagi bagi meningkatkan prestasi dan pencapaian untuk meraih tiket ke Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Menurut Norza, Wei Feng perlu bekerja keras untuk berada dalam kelompok 16 pemain yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) andai masih memasang impian untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.

Bersetuju dengan apa yang dinyatakan Norza, Wei Feng akui beliau perlu bangkit dan menunjukkan prestasi baik selepas ini bagi menaikkan ranking di tahap lebih baik.

“Kini, saya perlu fokus dan perbaiki segala kelemahan. Mungkin keseluruhan permainan saya perlu diubah, baik servis hingga corak serangan.

“Apapun, saya akan sentiasa berbincang dengan jurulatih bagi memastikan ada peningkatan pada kejohanan selepas ini,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");