Perak Hari Ini

PAWE Ubah Tanggapan Masyarakat Terhadap Warga Emas

IPOH: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negara ini khususnya di UTC Perak mampu mengubah tanggapan masyarakat terhadap warga emas.

Pengerusi PAWE UTC Perak, Datuk Tan Lian Hoe berkata,  warga emas yang telah berdaftar dengan PAWE telah didedahkan dengan pelbagai program bagi mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah.

Ujarnya, pelbagai program yang dirancang berkenaan dapat menjadikan mereka tidak lagi disisihkan oleh masyarakat.

“Kita telah merangka banyak program dan aktiviti yang menyeronokkan, menjaga kesihatan, meningkatkan minda dan boleh juga mencari sumber kewangan yang mana kita ajar mereka membuat kek, gubahan bunga serta kita juga adakan ceramah.

“Apabila mereka mempunyai ilmu, sudah pasti mereka ada input-input untuk berkomunikasi dengan keluarga dan tak lagi dianggap sebagai orang yang tidak berguna kepada keluarga dan juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran yang di adakan di PAWE UTC di sini hari ini.

PERAK TODAY 2

Beliau berkata lagi, warga emas khususnya ahli PAWE UTC pada masa ini telah menjadi kebanggaan kerana mereka juga telah mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan.

“Saya rasa bangga kerana warga emas di PAWE ini telah mendapat banyak jemputan daripada badan bukan kerajaan (NGO), dan agensi kerajaan untuk buat persembahan… Ini menjadikan warga emas pada hari ini adalah berbeza,”tegasnya.

Sementara itu, beliau juga berbangga kerana PAWE UTC telah terpilih untuk menerima Anugerah PAWE Cemerlang dalam satu majlis yang diadakan di Johor Bahru baru-baru ini.

“Ini adalah hasil daripada kerjasama semua pihak, ahli-ahli PAWE, agensi kerajaan dan begitu juga para media yang mana tanpa penglibatan daripada semua pihak pastinya kita tidak memperolehi anugerah cemerlang ini.

“Ia merupakan satu suntikan untuk kita semua untuk menjalankan lebih banyak aktiviti dengan lebih baik dan apa yang pentingnya kita nak menarik lebih banyak lagi warga emas ke pusat ini daripada semasa ke semasa,” jelasnya.

PERAK TODAY 3

Terdahulu, Anugerah PAWE Cemerlang tersebut telah disampaikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dalam Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2015 yang diadakan pada 3 Oktober yang lalu.

Lian Hoe juga berharap agar pelbagai pihak dapat tampil kehadapan untuk turut sama membantu memberi dana dan idea dalam pengurusan PAWE berkenaan.

“Kita berharap bahawa pihak-pihak daripada luar iaitu ahli korporat dan individu dapat juga tampil kehadapan untuk membantu kami daripada segi kewangan khususnya serta untuk mendapatkan tempat yang lebih luas bagi menampung ahli PAWE yang semakin hari semakin ramai.

“Kita juga berharap ada dermawan yang boleh menderma mungkin rumah yang tidak digunakan lagi untuk diberikan kepada kita untuk bawa ahli-ahli PAWE ke tempat yang lebih luas bagi menjalankan aktiviti,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau juga berharap agar Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dapat menubuhkan Majlis PAWE Kebangsaan bagi menjadi pentas untuk melakukan perbincangan berkenaan masalah yang dihadapi oleh warga emas di negara ini.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan menteri yang bertanggungjawab dan berharap cadangan berkenaan akan dipertimbangkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");