Berita Hari Ini

Sokong tak goyah

Kuala Lumpur: “Saya akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan,” tegas Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan, perubahan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat tidak menjejaskan semangatnya untuk terus berkhidmat memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu bercakap kepada media di lobi Parlimen pada hari pertama persidangan, di sini, semalam, ketika mengulas perubahan tempat duduk beberapa Ahli Parlimen BN dan pembangkang berikutan rentetan peristiwa dalam senario politik kebelakangan ini.

Sementara itu, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata, perubahan kedudukannya dari Blok A ke Blok E tidak menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Sebagai seorang wakil rakyat, tugas utama kita adalah untuk menyampaikan suara akar umbi bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negara diteruskan,” katanya.

Bagi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam pula, senario itu adalah perkara biasa di dalam politik apabila tempat duduk mereka berubah bergantung kepada kedudukan dalam parti.

“Apabila ada perubahan dalam perkara ini sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, perubahan tempat ini akan berlaku dan ia bukan luar biasa,” katanya.

Kedudukan tempat duduk Ahli Parlimen berubah berikutan pengguguran lima anggota Parlimen BN daripada Kabinet pada rombakan 28 Julai lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri kini ditempatkan di barisan pertama Blok A sebelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala Muhyiddin diletakkan di barisan pertama Blok E bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Turut ditempatkan di Blok E ialah Mohd Shafie, bekas Presiden MIC dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin.

Tempat Palanivel sebelum ini di Blok A, diganti oleh Presiden MIC baharu, Datuk Seri Dr S Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan.

Sementara kedudukan kerusi barisan menteri yang baru dilantik turut berubah termasuk Datuk Hamzah Zainudin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar).

Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).

Kedudukan anggota Parlimen PAS yang diketuai Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini berubah dari Blok I ke Blok G dan ada yang di Blok F.

Sebelum ini, ketika bersama pakatan pembangkang, Abdul Hadi berserta beberapa pemimpin parti itu diletakkan bersama dengan kepemimpinan parti PKR dan DAP di Blok I mengikut rajah tempat duduk ahli Dewan Rakyat yang dimuatkan dalam laman web Parlimen Malaysia www.parlimen.gov,my.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");