Berita Hari Ini

Pelarian Syria Di Malaysia Akan Diberikan Kad ID Khas

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengeluarkan kad pengenalan khas bagi 3,000 pelarian Syria yang masuk ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kementerian Dalam Negeri akan memudahkan kedatangan pelarian berdasarkan undang-undang semasa melalui Jabatan Imigresen.

“Biasanya UNHCR akan bekerjasama dengan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM) bagi mengeluarkan kad untuk pelarian yang memasuki Malaysia.

“Kali ini, kita yang akan mengeluarkan Ikad untuk pelarian itu. ikad ini akan mempunyai unsur-unsur keselamatan yang tertanam dalam kad untuk kegunaan Jabatan Imigresen,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Khas ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE) di sini Jumaat.

Pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pendatang Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membantu meringankan krisis pelarian.

Kira-kira empat juta pelarian Syria telah melarikan diri ke negara jiran sejak permulaan perang saudara di sana pada tahun 2011.

Dr Ahmad Zahid berkata langkah Malaysia untuk menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang adalah berdasarkan asas kemanusiaan, tanpa mengambil kira pendirian agama atau politik.

“Malaysia mempunyai pengalaman dalam perkara ini sebelum ini apabila kita mengambil pelarian dari Bosnia, dan kita bukan sahaja dipuji kerana itu, tetapi ia telah memberi isyarat keberhasilannya,” kata Dr Ahmad Zahid.

Tambahnya, ramai pelarian Bosnia yang belajar di sini dalam tempoh itu kini memegang jawatan utama dalam pelbagai bidang di Bosnia dan Herzegovina.

“Mereka telah menyumbang kepada usaha Malaysia untuk membawa kerja baik kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ditanya bila pelarian Syria akan tiba dan di mana mereka akan ditempatkan, Dr Ahmad Zahid berkata, ia akan dibincangkan dengan Najib terlebih dahulu.

“Kita tidak membincangkan butirannya lagi. Kita sedang merancang untuk bekerjasama dengan sektor swasta untuk menempatkan mereka, memberikan anak-anak pelarian pendidikan dan juga untuk menyediakan pekerjaan sementara sehingga mereka dapat kembali ke Syria,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");