Membawang Hari Ini

Pendidikan dalam hiburan

SEBAGAI ibu bapa, mendidik anak-anak supaya sentiasa berdoa dalam kehidupan adalah sangat penting.

Masakan tidak, sebagai satu bentuk ibadah, membaca doa dalam rutin seharian merupakan satu amalan yang sangat terpuji.

Bagaimanapun, dalam usaha mendidik si kecil, ibu bapa juga seharusnya bersikap lebih kreatif agar ia dapat dikuasai dengan mudah.

Menyedari akan hal itu, Bakafro Studioz mengambil inisiatif menerbitkan album doa, zikir dan selawat daripada kumpulan kanak-kanak, Abee’s Kidz.

Menariknya lagi, Abee’s Kidz yang dianggotai oleh tiga beradik, Ali Imran, Siti Nor Masyitah dan Umar Faroq merupakan anak kepada salah seorang ahli kumpulan nasyid terkenal, Raihan iaitu Abu Bakar Md Yatim.

Tidak hanya bergelar bapa, pada masa sama, Abu Bakar juga bertindak sebagai pengasas, penerbit dan komposer kepada kumpulan kanak-kanak yang berusia dari lima hingga 12 tahun itu.

“Alhamdulillah, sebenarnya saya agak bertuah kerana dikurniakan anak-anak yang mempunyai bakat menyanyi.

“Mungkin ini adalah rezeki mereka. Tambahan pula, saya tidak pernah memaksa mereka untuk melakukannya.

“Apabila mereka bersetuju, saya cuma memanfaatkan kebolehan yang ada.

“Pada masa sama, saya juga kerap mengingatkan mereka yang ini adalah sebahagian daripada usaha berdakwah,” katanya pada Zass.

Kata Abu Bakar, penubuhan Abee’s Kidz bertujuan untuk melahirkan lebih banyak produk berkonsepkan pendidikan dalam hiburan.

Katanya, sehingga hari ini, kumpulan itu sudah menghasilkan lima album berkonsepkan doa dan zikir meskipun baharu dua tahun ditubuhkan.

Lima album itu ialah Jom Zikir, Jom Selawat, Hafalan Doa Harian, Jom Belajar Bahasa Arab dan Jom Hafal Berlagu yang diedarkan oleh Inteam Records.

“Kesemua album yang dihasilkan itu bukan sekadar wadah hiburan semata-mata sebaliknya pengisiannya dapat membantu anak-anak kecil mengingati dengan cepat.

“Tambahan pula, dengan adanya muzik ringan, setiap doa, zikir mahupun selawat yang dialunkan akan menarik minat kanak-kanak, seterusnya turut sama menghafal dan beramal.

“Malah, ada yang menjadi siulan harian bagi anak-anak kecil. Alhamdulillah, kita juga mendapat maklum balas yang sangat positif daripada ramai ibu-bapa,” katanya.

Tambahnya, lebih istimewa, bagi album Jom Zikir, turut dikeluarkan dalam format cakera video digital (DVD) sekali gus menunjukkan perbezaan pendekatan di antara golongan kanak-kanak dan dewasa.

“Album zikir itu sendiri, kita acap kali dihidangkan dengan alunan zikir daripada golongan dewasa.

“Malah, kebanyakan klip video yang dibuat menunjukkan seperti berada di atas tikar sejadah mahupun di dalam masjid.

“Tetapi, apabila ia melibatkan golongan kanak-kanak, pendekatan itu sedikit berbeza yang mana ia lebih santai dan tidak terlalu serius,” katanya.

Tarik minat kanak-kanak

Selain itu, kata Abu Bakar, ia juga bertujuan untuk memberi kelainan sekali gus memudahkan kanak-kanak dalam pembelajaran agama.

“Kita mahu semua kanak-kanak belajar ilmu agama dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

“Ilmu agama bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipelajari cuma ia perlu hadir dengan idea yang kreatif bagi menarik minat mereka.

“Jika hendak dibandingkan dengan pembelajaran melalui buku, penggunaan media interaktif seperti ini lagi jauh ke hadapan.

“Kanak-kanak senang dibentuk, jadi apabila mereka tertarik, maka mudahlah untuk mereka mengikutnya,” katanya.

Tidak kisah dengan persaingan, bahkan Abee’s Kidz turut ‘mengalu-alukan’ lebih banyak produk Islam seumpama ini.

“Kita tidak nampak sebarang persaingan kerana buatlah dengan apa cara sekalipun produknya tetap sama cuma gaya sahaja yang berbeza.

“Bahkan, apabila produk seumpama ini banyak dihasilkan, ia akan memberi nilai tambah kepada pembeli sekali gus memberi lebih pilihan.

“Dalam sudut positifnya pula, produk Islam itu akan berkembang secara meluas,” katanya.

Pun begitu, Abu Bakar tidak menggalakkan anak-anaknya itu menerima sebarang undangan persembahan sebaliknya hanya berfokus untuk terus melahirkan produk yang bersifat pendidikan dalam hiburan.

“Secara psikologi, apabila mula mendapat perhatian ia akan mengganggu proses tumbesaran anak-anak.

“Jadi, sepanjang di bawah pengawasan saya, biarlah mereka kekal seperti ini.

“Lagipun, tujuan asal saya bukanlah menyuruh mereka menjadi seorang penyanyi sebaliknya mengambil tanggungjawab itu sebagai seorang Muslim,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");