Berita Hari Ini

Pengamal Media Profesional Perlu Utamakan Maklumat Tepat

KUALA LUMPUR: Pengamal media profesional perlu mengutamakan kesahihan maklumat terlebih dahulu berbanding kepantasan menyiarkan sesuatu berita, kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya.

Beliau berkata langkah mendapatkan pengesahan maklumat daripada sumber sebelum menyiarkan berita adalah penting agar tidak berlaku penyebaran maklumat salah kepada orang awam.

“Memang menjadi cabaran sekarang ini, wartawan profesional perlu bersaing dengan wartawan warga (citizen journalist) yang menyiarkan maklumat lebih pantas, namun kesahihan maklumat belum dipastikan.

“Ini menjadi dilema wartawan profesional kini, terpulanglah sama ada mahu cepat tetapi dengan maklumat salah, atau ambil masa sedikit untuk mengesahkan maklumat sebelum menyiarkan berita,” katanya kepada pemberita pada Forum Media Kebangsaan 2015 di sini, Selasa.

Pada masa masa sama, katanya wartawan perlu juga menitikberatkan kepantasan berita dengan maklumat tepat demi menjaga kredibiliti diri dan organisasi yang diwakili.

Bagaimanapun, Chamil berharap khalayak bijak menilai apabila menerima berita dengan cepat tetapi maklumat belum disahkan kesahihannya.

“Khalayak seharusnya memilih berita yang disertakan maklumat sahih daripada sumber media yang boleh dipercayai.

“Ini boleh ‘membunuh’ cara wartawan warga jika khalayak lebih memilih berita tepat sebelum berkongsi atau menyiarkan semula melalui media sosial atau blog mereka,” jelasnya.

Chamil ialah seorang daripada panel forum kali kedua itu, yang bertema ‘Hala Tuju dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia’ anjuran MPI.

Antara tokoh media lain yang mengambil bahagian pada forum itu ialah Tokoh Wartawan Negara Datuk A. Kadir Jasin dan Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf Datuk Abdul Jalil Ali serta Ketua Dewan Penasihat Persatuan Wartawan Indonesia Tarman Azam.

Forum itu disertai hampir 100 orang pengamal media, ahli akademik dan pelajar komunikasi media.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");