Berita Hari Ini

Rekaan jubah diperhalusi

Kuala Lumpur : Pengurusan Masjid Negara sentiasa memantau setiap pelancong asing terutama wanita yang datang ke masjid itu untuk lawatan supaya menghormati dan mengikut garis panduan etika kod pemakaian yang ditetapkan.

Pengarah Kanan Masjid Negara Khisamudin Ismail berkata, pelancong akan diberikan taklimat ringkas mengenai adab dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam kawasan masjid selain turut diawasi petugas masjid.

Menurutnya, setiap pelancong yang dikesan berpakaian kurang sopan akan diberikan jubah bersama tudung bagi memastikan jemaah masjid tidak terganggu.

“Masjid Negara sentiasa menggalakkan pelancong untuk berkunjung ke sini, sekali gus dapat memperkenalkan sejarah dan agama Islam tanpa perlu ‘mengongkong’ mereka.

Katanya, isu ini sebenarnya tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya membabitkan pengunjung wanita yang bukan Islam sahaja.

“Kita tak boleh paksa pelancong menutup aurat dengan sempurna mengikut hukum syarak seperti wanita Muslimah kerana kita faham latar belakang agama dan cara pemakaian mereka.

“Sebagai seorang Muslim, kita perlu berlapang dada dan menerima secara positif kerana mereka ini tetamu yang perlu dilayan dengan baik, sekali gus menonjolkan keindahan akhlak Islam,” katanya.

Katanya, Masjid Negara dalam rangka mengubah semula rekaan jubah yang lebih sesuai dan selesa untuk dipakai pelancong wanita mahupun lelaki, sekali gus mengelakkan isu sama berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook, Zainnudin Atai yang memuat naik dua rakaman video dan mengkritik kod etika pemakaian yang dikenakan Masjid Negara kepada pelancong asing.

Video berdurasi empat minit itu memaparkan rakaman beberapa pelancong asing wanita ‘ghairah’ mengambil gambar di pekarangan masjid sehingga mendedahkan bahagian paha berikutan rekaan jubah yang terbelah.

Dalam ruangan komen video berkenaan, Zainudin mendakwa pihak pengurusan masjid tidak peka dan memandang remeh isu ini yang dikatakan boleh mengganggu jemaah yang bersembahyang di Masjid Negara.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");