Membawang Hari Ini

Sweet sambung belajar

Sedar akan cabaran bidang seni semakin sengit dengan kehadiran ramai pendatang baru, pelakon dan pengacara Sweet Farhanna, 18, berkorban masa dengan menyambung pengajian dalam bidang Diploma Asas Seni di samping turut sibuk berlakon dan mengacara.

Bagi pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi ini, saat diri masih diperlukan dalam bidang seni dia perlu merebut peluang.

Meskipun terasa penat kerana perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya seni dan pengajian, dia akur dalam keadaan zaman semakin canggih semua perkara perlu direbut.

“Saya akui waktu sekarang begitu mencabar diri. Saya baru menyambung pengajian September lalu dan pada masa sama tawaran berlakon serta mengacara mencurah-curah pula.

“Rasa sayang untuk melepaskan peluang yang ada kerana rezeki seperti ini tidak selalu datang.

“Lagipun sudah lama saya aktif dan mengambil masa agak lama untuk ke tahap dikenali seperti sekarang.

“Tambahan pula kehadiran ramai pendatang baru akan membuatkan kita cepat ketinggalan. Justeru, saya tidak mahu rasa rugi dengan apa diusahakan selama ini dan kerana itu saya perlu berkorban masa serta tenaga bagi memastikan kedua-duanya berjalan seiring,” katanya.

Selain terkenal mengacara program Chichi & Chacha, Sweet turut berpeluang mencuba program Planet Bola di TV3.

Bagi Sweet, Planet Bola satu program baru yang sangat mencabar dirinya. Jika sebelum ini dia lebih terdedah dengan program kanak-kanak, menerusi Planet Bola dia perlu banyak mengkaji mengenai sukan bola sepak.

“Satu perkara baru yang saya pelajari. Memang sukar dan mencabar, namun sebagai pengacara saya perlu mencuba sesuatu yang baru.

“Meskipun sukar, saya gembira secara tidak langsung turut membuatkan saya lebih tahu secara mendalam mengenai dunia bola sepak.

“Apapun, selepas ini saya akan mencuba apa juga program yang diberikan. Bagi saya sebagai pengacara kita harus serba boleh dan saya buang rasa susah itu untuk memastikan program yang diacarakan berjaya,” katanya.

Selain mengacara, Sweet juga tidak sabar menanti filem lakonannya Juvana 2 menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.

“Saya gembira peluang saya dalam bidang ini sentiasa terbuka luas. Selain dapat berlakon drama saya juga teruja menanti filem lakonan saya ditayangkan.

“Seronok diberi peluang melakukan banyak perkara pada usia yang masih muda. Berlakon saya dapat pelbagai watak dan berpeluang meminjamkan suara untuk filem animasi.

“Mengacara juga saya dapat mencuba pelbagai jenis program. Walaupun rasa selesa dengan keadaan itu, saya tidak boleh leka dan perancangan menyambung pengajian ini sudah saya atur sebaiknya.

“Andai saya tidak lama dalam bidang ini sekurang-kurangnya saya sudah ada bekalan untuk melakukan perkara lain pula,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");