Berita Hari Ini

Terengganu Paling Ramai Ikrar Derma Organ

KUALA TERENGGANU – Sejak kempen derma organ atau tisu diperkenalkan pada 1998 sehingga Ogos 2015, rakyat negeri ini mencatat jumlah tertinggi mendaftar untuk menderma organ iaitu seramai 7,426 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, bilangan rakyat yang daftar sebagai penderma organ di negeri ini meningkat saban tahun dan kempen kesedaran akan terus dilaksanakan dari masa ke masa.

Menurutnya, sempena Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu 2015, Jabatan Kesihatan Terengganu mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Jalanan Satu Ikrar Sejuta Harapan bertemakan Jom Bincang-Let’s Talk bagi tujuan
meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan organ dan tisu selepas kematian dalam kaedah perawatan masa kini.

“Alhamdulillah, pada hari pelancaran kempen ini, hari ini (semalam) saja kita berjaya kumpul 2,130 ikrar penderma organ baru dalam kempen yang diadakan di seluruh negeri di lapan lokasi.

“Tahun lalu, ketika kempen ini mula dijalankan serentak di 70 lokasi di seluruh negara, Terengganu juga catat negeri paling ramai ikrar derma organ iaitu seramai 1,077 orang daripada 5,000 pengikrar baru yang direkodkan pada hari tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohamad Omar; Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr Saifur Rahman Muhammad dan Pengerusi Pasukan Perolehan Transplan (TOP) negeri, Datuk Dr Aisai Abdul Rahman.

Muhammad Pehimi berkata, sehingga September 2015, hanya lapan kes pendermaan organ selepas kematian berjaya dilakukan di negeri ini iaitu masing-masing seorang penderma pada 2002, 2007 dan 2013.

Katanya, selepas itu, berlaku pertambahan dengan dua orang penderma pada 2014 dan seterusnya tiga penderma pada tahun ini.

“Daripada lapan kes itu seorang penderma adalah bangsa Cina manakala tujuh lagi Melayu. Setakat ini penerima pendermaan organ di Terengganu adalah seramai 19 orang,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Pusat Sumber Transplan Nasional, jumlah rakyat negara ini yang mendaftar sebagai pengikrar pendermaan organ adalah seramai 308,303 orang manakala bilangan pesakit yang sedang menunggu organ sehingga Ogos
2015 seramai 19,544 orang (pesakit buah pinggang), empat orang (paru-paru), lima (jantung), enam (jantung dan paru-paru) dan lapan pesakit hati termasuk seorang pesakit hati kanak-kanak.

“Di Terengganu, sehingga Jun 2015, terdapat 1,280 pesakit buah pinggang kronik yang sedang menjalani rawatan iaitu 990 daripadanya menjalani rawatan dialisis manakala 290 pesakit menjalani rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD)
yang mana berada dalam senarai menunggu untuk pembedahan pemindahan buah pinggang.

“Peranan mempromosikan pendermaan organ bukan sahaja perlu dipikul anggota kesihatan semata-mata, malah NGO dan anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam usaha menambah bilangan pengikrar baru atau sekurang-kurangnya
memahami kepentingan pendermaan organ,” katanya.

Muhammad Pehimi turut menyarankan supaya kesedaran pendermaan organ turut menjadi pengisian dalam khutbah Jumaat yang disampaikan imam di setiap masjid.

Sementara itu, Datuk Dr Aisai berkata, antara organ yang mendapat permintaan tinggi di negeri ini ialah buah pinggang iaitu seramai 18,000 pesakit sedang menunggu, diikuti jantung, paru-paru dan kornea.

“Boleh dikatakan kesedaran menderma organ di negara ini masih rendah berbanding negara maju yang lain iaitu di Malaysia kini hanya 0.9 peratus daripada jumlah penduduk yang mendaftar untuk menderma organ,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");