Berita Hari Ini

Terengganu sambut baik Bajet 2016

KUALA TERENGGANU – Pembinaan hospital baharu Kemaman sepertimana diumumkan dalam Bajet 2016 semalam, sememangnya diperlukan berikutan keadaan hospital sedia ada di Bandar Cukai begitu sesak dengan pembangunan di kawasan sekitarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, hospital baharu tersebut yang akan dibina di kawasan Kijal sememangnya relevan bagi menggantikan Hospital Kemaman yang tidak mampu menampung jumlah pesakit dan begitu sesak berikutan kedudukannya terletak di tengah-tengah Bandar Cukai.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan satu lagi hospital dalam bajet 2016 di mana pada tahun ini (bajet 2015) kita mendapat pembinaan Hospital Dungun.

“Sebenarnya rakyat negeri ini amat bertuah kerana mendapat tiga pembinaan hospital baharu termasuklah pembinaan hospital pengajar di Universiti Sultan Zainal Abidin,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pembentangan bajet 2015 di kaca televisyen di kediaman rasmi Seri Iman, semalam.

Dalam bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, selain pembinaan hospital baharu di Kemaman, empat lagi hospital baharu akan dibina di Pasir Gudang, Pendang, Maran dan Cyberjaya.

Menurut Ahmad Razif, pembinaan hospital baharu itu juga dilihat penting berikutan ia berdekatan dengan kawasan perindustrian Kerteh di mana sebelum ini kebanyakan kes yang serius akan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Malah katanya, ini sesuai dengan apa yang dilakukan kerajaan negeri dalam memperkasakan bidang kesihatan kerana pihaknya sedia maklum dari segi aspek yang menyebabkan salah satu punca kemiskinan adalah berasaskan kepada kesihatan.

“Jadi dengan memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik buat rakyat, sudah tentu kita dapat menangani masalah miskin tegar terutamanya,” katanya.

Difahamkan hospital di Kijal itu akan dibina selepas pembinaan Hospital Dungun dan Hospital Pengajar UniSZA yang dijangka tahun depan.

Ahmad Razif berkata, pembinaan hospital baharu itu kelak akan dilaksanakan di satu lokasi yang telah dikenal pasti di Bandar Baharu Kijal.

Dalam pada itu, beliau turut tertarik dengan intapati bajet yang memperuntukkan sebanyak RM67 juta bagi Projek Kenderaan Bas Mara.

“Kita sedia maklum di Terengganu ini perkhidmatan bas ke daerah-daerah luar bandar tidak efektif malah tidak ada syarikat bas yang mahu menawarkan perkhidmatan itu.

“Dengan adanya peruntukan ini, saya nampak akan membantu memastikan pengangkutan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada penduduk dan pelancong yang ingin melawat ke sesebuah kawasan,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");