Berita Hari Ini

Tiada tangan-tangan ghaib dalam siasatan SPRM

KUALA LUMPUR – “Tidak wujud tangan-tangan ghaib.” Demikian reaksi Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Seri Zakaria Jaafar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal dakwaan wujudnya tangan-tangan ghaib yang melenyapkan saksi bagi kes-kes tertentu ketika pihaknya menjalankan siasatan.

“Setakat ini, sepanjang saya bekerja 24 tahun dalam bidang siasatan, tangan-tangan ghaib ini tidak wujud.

“Soalnya sekarang ini bagaimana saksi-saksi itu sanggup bekerjasama dengan kita,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis persaraannya, semalam.

Zakaria bersara wajib pada usia 58 tahun setelah berkhidmat selama 33 tahun dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM.

Menurutnya, menyelesaikan siasatan adalah keutamaan bagi SPRM bagi mana-mana kes yang disiasat sebelum menyerahkan kepada Peguam Negara untuk pendakwaan.

“Seperti kes sebelum ini di mana ada tiga saksi yang masih belum dapat dikesan, jadi, bagaimana nak selesaikan siasatan? Kalau saksi itu di luar negara, timbul pula isu Mutual Legal Assistance (MLA) di mana kita perlu melalui Peguam Negara.

“Apa yang lebih penting adalah, siasatan itu mesti lengkap dan diserahkan mengikut prosedur kepada Peguam Negara. Jika ada kes, ia akan didakwa,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepada SPRM agar tidak membiarkan mana-mana pihak yang berkepentingan mengganggu kedudukan suruhanjaya bebas itu.

Zakaria juga berharap, setiap pegawai SPRM akan terus memberi sokongan padu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan barisan pengurusan tertinggi suruhanjaya itu.

“SPRM pada hari ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir sejak agensi ini ditubuhkan. Malah sepanjang saya berkhidmat, saya tidak pernah terfikir SPRM akan menghadapi cabaran terbesar dan paling hebat seperti yang dilalui sekarang.

“Semua sedia maklum SPRM sedang menjalankan satu siasatan paling besar sejak penubuhan pada 1967. Oleh itu, sokongan dan semangat untuk terus berjuang perlu diberikan kepada pegawai terlibat dengan siasatan itu. Kita berhadapan dengan satu siasatan yang melibatkan orang paling berkuasa dalam negara,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");