Sukan Hari Ini

TRW wajib menang

“KAMI wajib menewaskan Selangor” Itu komen Ketua Kelantan, Mohd Badhri Radzi menjelang pertemuan menentang juara 32 kali itu pada aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Mohd Badhri atau dikenali panggilan Piya berkata, Kelantan tidak ada pilihan selain perlu mengalahkan Selangor kerana sedar hanya kemenangan sahaja yang mampu mencerahkan peluang pasukannya untuk mara ke suku akhir.

“Memang Kelantan berada dalam situasi terdesak untuk meraih kemenangan selepas tewas mengejut kepada T-Team, baru-baru ini. Malah, saya kena akui peluang untuk menang kali ini 50-50 biarpun mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.

“Jika seri atau kalah, ia akan menyukarkan peluang kami kerana saingan hanya berbaki dua perlawanan selepas ini sedangkan semua pasukan dalam kumpulan ini mempunyai peluang seimbang untuk ke suku akhir,” katanya.

Menurutnya, pertemuan menentang Gergasi Merah kali ini juga pasti menjanjikan saingan berbeza meskipun pasukannya pernah mengalahkan musuh tradisinya itu 3-0 di Shah Alam, pada pusingan pertama.

Justeru, Mohd Badhri mahu rakan sepasukannya lebih berwaspada terutama selepas melihat skuad Mehmet Durakovic mencipta kebangkitan apabila mencatatkan kemenangan ke atas T-Team dan seri dengan Felda United tempoh hari.

“Kehadiran Muhammad Nazmi Faiz (Mansor) dan Robert (Cornthwaite) menyuntik kembali kekuatan Selangor dan kami tidak boleh menidakkan kehebatan pasukan itu kerana semangat juang pemain mereka cukup tinggi.

“Pada masa sama, saya berharap Gilmar (Jose Da Silva Filho) dapat meneruskan aksi cemerlangnya kerana sumbangan penyerang import ini cukup berkesan dan dia mampu menjadi watak pemusnah buat Selangor, malam esok,” katanya.

Sementara itu, Mohd Badhri mengakui ketiadaan Norfarhan Muhammad yang terpaksa berehat sehingga akhir musim ini akibat kecederaan menjejaskan pasukannya menghadapi pertandingan piala paling berprestij itu.

Bagaimanapun, perancang tengah itu percaya barisan pemain sedia ada masih mampu meneruskan misi getir membawa The Red Warriors ke suku akhir kali ketujuh sejak tahun 2009.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");