Berita Hari Ini

Vape: Polis tiada kuasa tahan pelajar

SEREMBAN – Polis tidak mempunyai kuasa untuk menahan pelajar sekolah yang menghisap rokok elektronik (Vape) di dalam sekolah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, sehingga kini belum ada akta yang mengatakan Vape merupakan kesalahan menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, polis hanya boleh bertindak kepada perkara yang menyalahi undang-undang sahaja.

“Jabatan Pelajaran negeri, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bawa isu Vape ini ke peringkat lebih tinggi dengan membuat kajian untuk pastikan ia satu kesalahan.

“Di sekolah pelajar tidak dibenarkan merokok dan menghisap Vape sama kesalahan seperti merokok. Tetapi di luar sekolah mereka merokok dan tiada undang-undang bagi kesalahan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja Timbalan Ketua Polis negeri dan sesi dialog bersama warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azman Mohamad Yusof; Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun dan Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Abd Rahim Daud.

Narenasagaran bagaimanapun berkata, pihaknya merasakan kajian perlu dilakukan agar menghisap Vape dalam kalangan pelajar sekolah dijadikan satu kesalahan supaya tindakan boleh diambil.

“Kita tahu Vape ini tidak membawa manfaat dan memudaratkan. Jadi, pihak kementerian perlu membuat kajian dan PDRM sedia membantu.

“Polis sentiasa menjalin kerjasama dengan pihak sekolah dalam memantau pelajar daripada sebarang aktiviti tidak bermoral dan jenayah,”katanya.

Sementara itu, Narenasagaran berkata, IPD Seremban merupakan IPD kelima dalam siri lawatannya selepas pertukarannya ke negeri ini sejak Julai lalu.

Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan bagi meninjau isu dan masalah di setiap IPD di negeri ini selain sesi suai kenal dan beramah mesra dengan anggotanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");