Perak Hari Ini

Banjir Kilat: MBI Sentiasa Bersiap Sedia

IPOH: Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir kilat seperti yang berlaku di beberapa kawasan di Ipoh, semalam.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan segera untuk mengalirkan air secepat mungkin ke parit utama.

“Kita di peringkat MBI sudah ada jawatankuasa-jawatankuasa yang sentiasa bersedia untuk menghadapi suasana sebegini.

“Jadi ada beberapa kawasan yang dilanda banjir kilat seperti semalam, kita sudah mengambil beberapa tindakan segera mengalirkan air ke parit utama secepat mungkin,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tajaan dan Sidang Media Ipoh International Run (IIR) 2015, hari ini.

Semalam, beberapa kawasan di sekitar bandaraya ini mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat.

Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Taman Kinta Permai, Kampung Seri Jaya Tambahan, Jalan Kuala Kangsar dan Tamai Pulai Jaya.

Zamri turut berkata, hampir semua kawasan yang dilanda banjir kilat semalam sudah kembali pulih seperti biasa.

Mengulas mengenai banjir kilat yang berlaku semalam, Zamri berkata aliran air keluar di parit utama antara punca berlakunya kejadian tersebut.

“Aliran air di parit utama telah naik dan tinggi. Apabila tinggi, ianya menyebabkan pergerakan air keluar menjadi perlahan, tetapi air tetap keluar,”jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau turut menegaskan bahawa MBI akan tetap melaksanakan tugas-tugas dalam memastikan aliran-aliran air tersebut tidak mempunyai sebarang masalah.

“Kita teruskan tindakan-tindakan kita untuk memastikan aliran-aliran air ini berada dalam keadaan aliran yang cantik, tanpa ada gangguan seperti sampah ataupun tersumbat.

“Ini kerana, ada sebahagian kecil aliran air ini tersumbat dengan pembuangan-pembuangan sampah oleh sikap-sikap warga kita yang membuang sampah dilongkang.

“Tetapi kita telah menggerakkan hampir 500 pegawai di seluruh bandaraya Ipoh untuk memfokuskan sistem saliran yang sedia ada supaya ianya bersih dan bagi memastikan air dapat bergerak dengan lancar,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");