Sukan Hari Ini

Enggan ‘pisang berbuah dua kali’

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak mahu episod ‘pisang berbuah dua kali’ berulang apabila atlet negara sekadar mampu menguasai peringkat remaja semata-mata.

Tegasnya kerjasama antara persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) penting bagi memastikan program terbaik disediakan untuk atlet remaja berjaya seperti Badrul Hisham Abdul Manap dalam acara olahraga dan Goh Jin Wei, badminton.

Khairy berkata, KBS akan mengenal pasti bakat atlet remaja yang menunjukkan prestasi luar biasa menerusi jawatankuasa dipengerusikan beliau sendiri iaitu Jawatankuasa Arahan dan Kawalan (CNC) agar sampai ke potensi sebenar.

“Kita tidak mahu prestasi cemerlang atlet remaja tidak sampai ke potensi sebagai atlet dewasa,” katanya.

Menurutnya, menerusi Jawatankuasa CNC yang turut membabitkan MSN, ISN (Institut Sukan Negara) Pesuruhjaya Sukan, MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan Ketua Pengarah Prestasi Tinggi Keith Power, mereka akan mengenal pasti atlet remaja yang menunjukkan prestasi luar biasa.

“Perbincangan akan terus dijalankan bersama MSN dan persatuan masing-masing berhubung program yang akan dirancangkan bagi memastikan bakat mereka sampai ke peringkat senior,” katanya.

Khairy menegaskan, beliau tidak mahu kes lampau berulang semula apabila atlet yang berjaya muncul juara dunia namun kecundang ketika memasuki peringkat dewasa.

Terdahulu kejayaan Badrul mengejutkan ramai pihak apabila melakarkan rekod baru kebangsaan 10.29 saat untuk memadamkan rekod lama 10.30s yang berusia 17 tahun milik Watson Nyambek dalam acara 100 meter selain turut melakarkan rekod baru kejohanan acara 200m.

Jin Wei pula muncul pemain badminton wanita pertama bergelar juara remaja dunia baru-baru ini.-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");