Perak Hari Ini

Hargai Jasa Tokoh Terdahulu -Sultan Perak

KUALA KANGSAR: Sifat menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu hendaklah dijadikan budaya kepada warga bangsa, Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, kata-kata kenegaraan pemimpin silam dan prinsip bina negara yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu hendaklah sentiasa dijadikan rujukan, panduan dan pedoman.

“Bangsa yang berjaya membina tamadun agung adalah bangsa yang memberikan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh silam; tokoh-tokoh yang telah merintis perjuangan dan mengasaskan gagasan negara bangsa.

“Rasulullah SAW sendiri telah menunjukkan contoh teladan. Berpandukan kisah yang terkandung dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda menunjukkan sifat menghormati Rasul-Rasul terdahulu; menghargai pandangan mereka ketika Baginda menerima perintah menunaikan solat daripada Allah SWT,” titah Sultan Nazrin.

Titah baginda lagi, negara ini mempunyai sejarah kemerdekaan yang masih baru dan terlalu singkat yang tidak sepatutnya begitu cepat dilupakan.

“Negara terhutang budi kepada peranan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum), dan barisan yang seangkatan dengan Almarhum itu.

“Antaranya Tun Abdul Razak (Allahyarham), Tun Dr. Ismail (Allahyarham), Tun Tan Siew Sin (mendiang) dan Tun V.T. Sambanthan (mendiang) di dokong oleh barisan pentadbir dan teknokrat yang turut berpegang kepada budaya kejujuran serta ketegasan untuk menyuarakan yang hak selaras dengan nasihat Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) dalam ucapan yang bertemakan “ROAD TO NATIONHOOD;

Sebagai Pegawai Awam, saya harap anda akan bersedia berhadapan dengan pemimpin politik dan tidak membenarkan anda didominasi oleh kami kerana dalam demokrasi yang tulen, pegawai awam ada tanggungjawab untuk dilaksanakan. Masa hadapan hidup berdemokrasi dinegara kita, bergantung kepada anda,” titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, dalam semangat mahu menghargai jasa bakti tokoh-tokoh terdahulu,baginda telah menetapkan untuk mengurniakan anugerah secara anurmerta (anugerah yang diberikan kepada seseorang yang meninggal dunia) sempena istiadat sulung sambutan rasmi ulang tahun hari keputeraan baginda,

“Anugerah berkenaan dikurniakan kepada beberapa orang tokoh terdahulu dan individu-individu yang telah mengorbankan nyawa mereka ketika melaksanakan tugas negara bangsa,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin telah mengurniakan darjah kebesaran secara anumerta (anugerah yang diberikan kepada seseorang yang meninggal dunia) kepada enam penerima sempena sambutan ulang tahun keputeraan pertama selepas baginda ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35 pada Mei lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");