Berita Hari Ini

Hudud perlu buat secara berperingkat

ALOR SETAR – Kerajaan pusat tidak pernah menolak pelaksanaan hudud yang merupakan cabang hukum jenayah syariah namun, kekangan yang wujud menyebabkan ia masih di peringkat kajian Jawatankuasa Teknikal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara kekangan ialah perlunya pindaan perlembagaan termasuk perkenan Sultan setiap negeri untuk meminda peruntukan Rang Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah negeri selaku Ketua Agama Islam.

“Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan hudud, sebaliknya perlu dibuat secara berperingkat serta memerlukan penelitian secara holistik yang mengambil kira pelbagai aspek tanpa terhad kepada hukuman semata-mata,” katanya selepas Wacana Eksekutif Indeks Syariah Malaysia peringkat negeri Kedah, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa teknikal tahun lalu itu antaranya bertujuan untuk memikirkan kaedah berkesan pelaksanaan hudud dalam kerangka masyarakat Islam.

“Hudud ini satu daripada tiga bentuk kesalahan atau hukuman selain qisas dan takzir dalam hukum jenayah syariah. Di bawah hukuman hudud, terdapat enam bentuk jenayah. Kita tidak perlu gopoh mahu kuatkuasakan hukum syarak ini jika belum bersedia sepenuhnya, untuk elak fitnah terhadap Islam atau berlaku konflik ketidakcapaian keadilan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, sebelum menjurus kepada pelaksanaan hudud, antara usaha yang perlu diperkasakan terlebih dahulu adalah peranan Mahkamah Syariah.

“Kita perlu mulakan secara berfasa. Buat masa ini, perlu dinaik taraf peranan Mahkamah Syariah dengan memperluaskan bidang kuasanya. Aspek ini perlu diperhalusi dahulu, kerana kita bukan bercakap tentang konteks hudud yang sempit tetapi kerangka yang lebih besar,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aspek perlu diteliti termasuk struktur masyarakat, prasarana, keupayaan serta kefahaman masyarakat Islam.

“Dakwaan kerajaan pusat tidak ambil perhatian isu hudud tidak benar. Perdana Menteri sendiri menyatakan pendirian Umno tidak tolak hudud kerana ia sebahagian hukum ALLAH SWT,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, antara peringkat ke arah pelaksanaan itu turut melibatkan persetujuan 2/3 majoriti di Parlimen, apabila pindaan kepada perlembagaan sedia ada dilakukan.

“Aspek maqasid syariah juga perlu dilaksanakan secara adil, jadi kita buat yang termampu dahulu. Hukum hudud yang termaktub dalam peruntukan undang-undang negeri perlu diperkasa dahulu kerana kita tidak mahu bidang kuasa negeri dan persekutuan kelak bertindih,” katanya.

Menurutnya, ini bagi mengelak wujudnya dua bentuk perundangan berbeza dalam negara jika tidak diselaraskan di peringkat negeri.

“Apabila rakyat sudah bersedia menerima hudud, itulah masa sesuai dilaksanakan. Kerajaan pusat sudah membuat persiapan ke arah memperkasa hukum jenayah syariah secara berfasa dan meneliti beberapa peruntukan sedia ada,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, proses itu berjalan lancar dan kini di peringkat untuk meyakinkan Ketua Agama Islam setiap negeri mengenai manfaat pelaksanaan hudud yang tidak membawa kesan buruk.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");