Membawang Hari Ini

Joget 1 Malaysia satukan etnik

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pesta Joget 1 Malaysia 2015 (PJ1M).

PJ1M merupakan acara yang memaparkan variasi produk seni persembahan iaitu joget yang terkenal di Melaka.

Joget bererti menari atau bertandak dan joget juga merupakan salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu. Kedatangan Portugis ke Melaka yang membawa tarian Branyo telah menjadikan joget diminati oleh masyarakat tempatan pada ketika itu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mesran Mohd Yusop, joget juga dijadikan satu kemestian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan, berkumpulan dan beramai-ramai yang juga dikenali sebagai joget lambak atau Cak Kun Cak.

“Pada kebiasaannya persembahan joget diiringi oleh alat-alat muzik akordian, biola, rebana dan gong.

“Justeru, mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya kepada Melaka khususnya, Motac dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan JKKN selaku pengelola telah mengambil inisiatif untuk membawakan pesta joget ini dalam satu konsep baru dan diolah menjadikan Joget 1 Malaysia melalui pelbagai versi joget dari segi rentak, gerak dan lagu yang akan dikoreografi daripada gerak asal sehingga kontemporari dan kerasi baru,” katanya.

PJ1M menghimpunkan 400 peserta pelbagai kaum dan variasi joget seluruh Malaysia yang dibahagikan mengikut tujuh segmen.

Segmen pertama dimulakan dengan persembahan Joget Melaka daripada Artis Tari Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Briged Seni Melaka.

Diikuti segmen kedua, Joget Etnik pula memaparkan persembahan joget daripada Etnik Melaka Baba Nyonya, Cina, Chitti, India dan Portugis.

Bagi segmen ketiga, persembahan menjadi lebih meriah apabila sekumpulan adik-adik cilik menerusi persembahan Joget Cilik tidak ketinggalan memaparkan aksi tarian mereka yang penuh bertenaga.

Seterusnya segmen keempat, pesta ini menumpukan kepada persembahan joget secara asal (authentic) dan tradisi di Melaka.

Menariknya, ketika persembahan ini diadakan, ia turut diiringi perarakan Lambretta dan Vespa serta persembahan joget lambak.

Sementara itu, bagi segmen kelima, pesta joget ini beralih kepada segmen negeri yang mempersembahkan variasi joget di negeri-negeri di Malaysia diikuti persembahan nyanyian lagu Joget oleh pasangan penyanyi Haziq dan Asmidar diiringi persembahan tarian negeri oleh Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan.

Segmen keenam pula mempersembahkan Joget Antarabangsa yang dipersembahkan pelajar luar negara, dibimbing oleh JKKN.

Untuk segmen ketujuh yang dikenali sebagai Joget Fusion, satu kelainan telah ditampilkan yang mana joget yang dipersembahkan disuntik elemen moden.
Manakala, sebagai persembahan penutup, penari telah menjemput pengunjung untuk menari bersama-sama.

Cinta seni budaya

Mengulas lanjut mengenai PJ1M, kata Mesran, program yang berlangsung selama dua jam itu merupakan satu lagi inisiatif untuk merapatkan hubungan bersama komuniti setempat.

“Apa yang penting kita mahu mengajak semua kelompok masyarakat dan peserta untuk sama-sama menghargai dan mencintai seni budaya.

“Program ini turut memberi signifikan besar dalam perkembangan seni persembahan khususnya untuk rakyat jelata memandangkan joget telah mendapat penerimaan masyarakat pelbagai kaum sebagai tarian sosial yang popular, unik dan menjadi medium perpaduan di negara kita.

“Pada masa sama ia mengingatkan kita supaya tidak tenggelam dengan tarian-tarian sosial dan moden dari Barat seperti Ballroom dance, Samba, Flamenco, Belly Dance dan sebagainya,” katanya.

Program ini juga selari dengan falsafah dan fokus asas JKKN iaitu melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia.

Tambah Mesran, dengan penganjuran acara ini, komuniti setempat boleh menjadikan joget sebagai gerakan senaman yang unik, selain dapat menarik pelancong untuk mengenali joget sebagai produk pelancongan budaya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");