Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Serius Tangani Isu Pemerdagangan Manusia

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sentiasa serius dalam menghadapi isu pemerdagangan manusia di negeri ini dengan mengambil beberapa langkah proaktif.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi membendung segala aktiviti jenayah ini.

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa adalah mneguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

“Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah memberi perlindungan terhadap mangsa dan menempatkan mereka di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ” ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Radzi Zainon (PAS-Sungai Rapat) pada Persidangan DUN hari ini.

Beliau menambah, pihak berkenaan turut melakukan proses menghantar pulang kembali mangsa-mangsa jenayah tersebut ke negara asal dan merujuk terus ke Perwakilan Diplomat negara asal masing-masing.

“Kempen kesedaran melalui kursus dan taklimat kepada orang awam pula diadakan bagi memberi pendedahan dan maklumat mengenai jenayah ini.

“Disamping itu, koordinasi antara kementerian dan agensi telah diadakan dengan kerjasama PDRM dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, Malaysia dan Thailand telah mengadakan Memorandum Persefahaman pada tahun 2010 yang mana ianya menggariskan suatu bentuk kerjasama di antara kedua-dua negara bagi membendung serta membasmi jenayah ini, khususnya negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Perak.

“Antara bentuk kerjasama diantara PDRM Perak dengan Thailand adalah mengadakan Mesyuarat Pengukuhan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand pada 19 Oktober lalu di Pasukan Gerak Am Pengkalan Chepa, Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan operasi Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 oleh Kontijen Perak daripada tahun 2011 hingga 2015, sebanyak 35 operasi pemeriksaan telah dijalankan di pelbagai lokasi.

“Sepanjang tempoh berkenaan, 71 tangkapan telah berjaya dibuat iaitu 13 tangkapan pada 2011, 10 tangkapan (2012); tujuh tangkapan (2013), 15 tangkapan (2014) dan 26 tangkapan pada tahun ini,” ujarnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");