Membawang Hari Ini

Merantau jual bakat

Bakat muda dikenali Obiet Panggrahito ini hanya ada satu impian terpendam iaitu mengembangkan kerjaya muzik di negara ini.

Biarpun perlu merantau ke tempat orang dan meninggalkan keluarga di Jawa Tengah, Indonesia, remaja berusia 17 tahun ini sanggup berkorban demi cita-cita.

Ketika ditemui RAP baru-baru ini, Obiet atau nama sebenarnya Yohanes Babtista Obiet Panggrahito mengakui keputusan berpindah ke Malaysia adalah pengorbanan besar yang dilakukan sejak tahun lalu.

“Sebelum ini, saya sudah mengukuhkan kerjaya di Indonesia selepas menyertai pertandingan Idola Cilik 2 pada 2009. Apabila syarikat rakaman MusicScape menawarkan kontrak pengurusan kerjaya di sini, saya fikir mengapa tidak ambil saja.

“Jadi sejak tahun lalu, saya mula aktif membina peluang dan menjual bakat dan karya saya di sini. Saya harap pengorbanan ini berbaloi dengan hasilnya nanti,” katanya.

Obiet yang berkebolehan bermain 10 alat muzik berkata, respons memberangsangkan terhadap beberapa lagunya terdahulu seperti Cintaku Yang Pertama dan Sahabatku menyuntik keyakinannya berhijrah ke industri muzik di sini.

“Saya perhatikan respons di YouTube terhadap lagu-lagu saya daripada peminat muzik di sini amat menggalakkan. Walaupun saya masih baru, mereka kenal lagu saya.

“Itu yang membuatkan saya lebih yakin untuk mencuba nasib di sini. Lagi pun, pakej yang saya tawarkan iaitu penyanyi dan komposer remaja lelaki bermain alat muzik masih tidak ada lagi dalam industri muzik tempatan.

“Setakat ini, cuma ada Aziz Harun saja yang seangkatan saya. Jadi peluang untuk menonjol itu lebih cerah dengan lagu dan promosi yang betul,” katanya.

Katanya, sebagai kelainan dia bakal muncul dengan sebuah lagu daripada projek duet bersama mentornya, Radhi OAG.

Katanya, lagu yang bakal dimuatkan dalam album sulung yang akan dipasarkan pada bulan depan itu menjadi titik tolak kerjaya baru di Malaysia.

“Buat masa ini saya namakan lagu itu Si Panda. Ia sebuah lagu rancak duet bersama Radhi. Lagu itu berbeza dengan lagu balada yang saya hasilkan sebelum ini.

“Saya tulis lagu itu dengan bimbingan Radhi dan sekarang kami masih dalam proses rakaman. Saya berharap projek RadhiObiet ini menjadi dan diterima umum,” katanya.

 

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");