Sukan Hari Ini

Misi musim baru

Sepang: Selepas mengharungi musim mencabar pada 2015, pemain perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei sudah bersedia untuk memulakan kempen baru tahun depan dengan perancangan awal bagi tiga bulan pertama.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, bagi mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Rio 2016 serta berada di kedudukan empat terbaik dunia, dia akan mula turun ke gelanggang seawal Januari untuk beraksi di Pulau Pinang pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia.

“Saya sedar tahap keyakinan saya semakin meningkat terutama selepas muncul juara di Siri Super Perdana Terbuka China dan Terbuka Hong Kong namun semangat saya harus berterusan hingga tahun depan,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Jelasnya, menamatkan aksi musim ini dengan meraih tiga gelaran termasuk Siri Super Terbuka Perancis memang sangat menggembirakan namun perjuangannya masih belum berakhir.

“Bukan mudah untuk muncul juara di Terbuka China yang mana perlu berdepan dengan dua pemain hebat, Lin Dan dan Chen Long. Bagaimanapun, saya gembira memenangi kejohanan itu, dalam masa sama tidak boleh berasa terlalu puas hati.

“Memang Chen Long kalah dua kali ketika bertemu saya dalam tempoh dua minggu, dia sudah pasti akan melihat semula permainan itu dan mengkaji kekurangan yang perlu diperbaiki. Saya juga akan melakukan perkara sama,” katanya yang turut muncul juara di GP Emas Terbuka Amerika Syarikat dan GP Terbuka Kanada Jun lalu.

Pemain yang menghuni ranking keenam dunia itu berkata, beraksi di Olimpik Rio adalah satu impian selepas lapan bulan digantung akibat masalah doping, ketika itu hanya keluarga serta barisan jurulatih saja yang mengetahui kesukaran dihadapinya.

“Kritikan yang diterima memang perit namun sebagai pemain saya harus menerimanya. Sekarang saya yakin dan perlu mengekalkan semangat ini supaya beraksi lebih baik tahun depan. Saya akan meneruskan latihan dan berbincang bersama jurulatih, Hendrawan serta Tey Seu Bock.

“Perlu melihat program yang sesuai sebelum ke Olimpik tahun depan. Ini temasya Olimpik keempat buat saya dan saya memerlukan undian selesa, jadi saya perlu berada antara empat pemain terbaik dunia,” katanya.

Selain beraksi di GP Emas Terbuka Malaysia dari 19 hingga 24 Januari, Chong Wei juga akan turun ke gelanggang pada Februari bagi kelayakan Piala Thomas dan selepas itu Seluruh England (Mac).

“Itu antara tiga kejohanan yang saya akan sertai tahun depan. Kejohanan lain masih belum diputuskan. Apa yang saya tahu mungkin saya akan beraksi satu atau dua kejohanan bertaraf Siri Super selepas April untuk mencari fokus ke Olimpik Rio,” ujarnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");