Sukan Hari Ini

Otai jiwa besi

Langkawi: Melihat keadaan fizikal, tiada siapa menyangka Yee Sze Mun, yang akan menyertai edisi ke-13 Kejohanan Ironman Langkawi 2015 esok, sudah berumur 78 tahun.

Lebih membanggakan apabila anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur itu disambut meriah oleh lebih 1,100 atlet dari 53 negara selepas menerima anugerah ‘Hall of Fame’ atas pembabitannya untuk kali ke-20 dalam kejohanan Ironman (Malaysia dan dunia).

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli, di Majlis Makan Malam bersempena Kejohanan Ironman Langkawi 2015, di sini malam tadi.

Yee yang menyertai Kejohanan Ironman pertamanya di Kona, Hawaii pada 1995 ketika berumur 58 tahun berkata dia terharu dan gembira dengan anugerah diberikan dan ia menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk terus menyertai kejohanan itu.

Menceritakan bagaimana menceburkan diri dalam Ironman, Yee berkata dia mendapat dorongan untuk menyertai kejohanan itu selepas melihat liputan Ironman yang dilaporkan oleh media antarabangsa di televisyen.

“Apabila melihat liputan kejohanan itu, saya berasa kagum dengan kemampuan manusia yang mampu untuk menghabiskan tiga disiplin sukar membabitkan renang, berbasikal dan larian, itu menjadi dorongan untuk saya mencuba.

“Saya masih ingat perasaan berenang seawal 7 pagi pada penyertaan pertama Ironman dan itu menjadi kayu ukur untuk melihat sama ada saya mampu untuk menghabiskan semua disiplin atau tidak. Atas dasar percaya kepada diri, siapa sangka tahun ini merupakan kali ke-20 penyertaan saya dalam Kejohanan Ironman,” katanya.

Katanya, ini juga merupakan kali ke-13 dia menyertai Kejohanan Ironman Langkawi sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2000.

Beliau berkata disiplin memainkan peranan penting untuk menyertai kejohanan itu kerana perlu menjalani latihan bagi membiasakan diri dengan disiplin yang sukar ditambah pula usianya yang hampir mencecah 80 tahun.

“Saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang sukan tetapi kerana minat yang mendalam saya menjalani latihan sendiri. Pada peringkat awal saya menjalani latihan tiga kali seminggu dan perlahan-lahan saya mampu berlatih sehingga 26 jam tanpa henti sebagai persedian sebelum menghadapi mana-mana kejohanan Ironman.

“Sekarang umur sudah hampir mencecah 80 tahun jadi tempoh latihan terpaksa dikurangkan mengikut kemampuan fizikal saya,” katanya.

Yee berkata dia tidak sabar untuk menyertai kejohanan esok selepas beberapa perubahan kepada lokasi perlumbaan dilakukan tahun ini dengan acara renang akan bermula dari HOTEL Danna di Pantai Kok, sebelum melalui Jalan Teluk Yu untuk berbasikal, dan acara larian bermula di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan berakhir di Meritus Pelangi Beach Resort & Spa.

“Kejohanan pada tahun ini menarik dan diakui berbasikal akan menjadi disiplin paling sukar selain berenang dan larian, bagaimanapun tiada apa yang mampu menghalang saya untuk sampai ke garisan penamat,” katanya.

Esok, kira-kira 1,100 atlet dari 53 negara akan berentap memburu gelaran juara Kejohanan Ironman Langkawi 2015 edisi ke-13 yang membabitkan tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km. – Bernama

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");