Perak Hari Ini

Pemain Industri Perhotelan Perlu Sediakan ‘Shuttle’

Ipoh: Pemain industri perhotelan di Perak khususnya di Ipoh perlu menyediakan lebih banyak pengangkutan ulang alik (shuttel) untuk kemudahan kepada pengunjung bagi bergerak dari hotel ke kawasan pelancongan di bandaraya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia sedikit sebanyak dapat membantu masalah pengangkutan yang dihadapi di sini.

Beliau yang ditemui ketika merasmikan pembukaan Hotel Cititel Express Ipoh hari ini berkata, perkhidmatan pengangkutan ulang alik yang disediakan oleh hotel berkenaan boleh dijadikan contoh kepada pemain industri perhotelan yang lain.

“Ia adalah perkhidmatan yang kebanyakkan hotel di bandaraya perlu pertimbangkan kerana kita tahu apa yang menjadi masalah di bandaraya ini adalah kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi.

“Apa yang dilakukan oleh sektor swasta seperti hotel ini dapat membantu kita untuk menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya boleh menjadikan contoh kepada pemain industri perhotelan lain untuk melakukan perkara yang sama,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah Eksekutif IGB Corporation Berhad (IGB), Tan Boon Lee.

2015-12-01 11.26.23

Sementara itu, beliau berkata lagi, pembukaan Hotel Cititel Express Ipoh oleh syarikat IGB berkenaan juga mampu membantu dalam menyediakan tempat penginapan kepada pelancong yang datang ke bandaraya ini bukan sahaja dari dalam, malahan dari luar negara.

“Ia adalah satu usaha yang amat baik bagi industri pelancongan di negeri ini, yang mana hotel berkenaan menyediakan lebih banyak kemudahan dan fasiliti kepada pengunjung.

“Seperti yang kita tahu, jumlah hotel baharu di Perak telah meningkat sejak tahun lepas yang mana ia dipelopori oleh sektor swasta. Ia sedikit sebanyak memberikan alternatif kepada industri pelancongan di Ipoh yang mana mendapat perhatian terutamanya daripada pelancong domestik dan juga luar negara,” katanya.

Tambahnya lagi, ia juga dapat menampung jumlah pengunjung yang dijangkakan akan meningkat susulan pembukaan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) yang dijangka dibuka pada Mei 2016 nanti.

“Dengan penambahan pembukaan hotel ini juga dapat membantu daripada segi meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan yang mana seperti kita tahu MAPS akan dibuka pada Mei 2016.

“Kita jangkakan yang kita tidak mempunyai penginapan yang mencukupi untuk menampung jumlah pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa,” jelasnya lagi.

Jpeg

Beliau juga berharap agar pemain industri perhotelan dapat merebut peluang dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

“Saya juga yakin bahawa pihak Hotel Cititel Express Ipoh juga telah mengadakan perbincangan untuk menyediakan pengangkutan ulang alik dari hotel ke taman tema berkenaan,” katanya lagi.

Hotel Cititel Express Ipoh telah dibina setinggi 12 tingkat dan terdapat beberapa jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan antaranya deluxe twin, triple serta quadruple room. Ia juga menyediakan kemudahan yang boleh dianggap seperti rumah.

Terletak berhampiran dengan Wisma Taiko, kedudukan hotel ini  juga agak strategik berikutan ia juga berhampiran dengan pelbagai lokasi makanan yang terkenal di Ipoh, tempat warisan dan juga kawasan pelancongan tumpuan selain daripada berhampiran dengan Stesen kereta api (KTM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");