Perak Hari Ini

Perak Berjaya Catat Pelaburan RM2.99 Bilion

IPOH: Perak telah berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM2.99 bilion sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan ianya melebihi jumlah pelaburan yang disasarkan iaitu RM2.91 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Datuk Abdul Khalid menyatakan Kerajaan Negeri di baah Pelan Tindakan Pembangunan Perindustrian Negeri Perak (PIDAP) telah menyasarkan untuk menarik masuk pelabur asing dalam sektor pembuatan (tempatan dan asing) sebanyak RM2.91 bilion bagi tahun 2016 dan RM3.1 bilion bagi tahun 2017.

“Statistik jumlah pelaburan asing yang diluluskan di Perak bermula Januari hingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM2,573.9 juta manakala jumlah keseluruhan pelaburan asing yang diluluskan di Malaysia adalah sebanyak RM13,091.5 juta.

“Jadi peratusan bagi negeri Perak daripada keseluruhan Malaysia adalah sebanyak 19.66 peratus,” ujarnya ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Teh Kok Lim (DAP-Pokok Assam) pada Persidangan DUN hari ini.

Beliau menambah, kedudukan strategik negeri Perak iaitu berhampiran dua hab ekonomi utama Malaysia iaitu Lembah Klang dan Pulau Pinang juga merupakan salah satu kelebihan dalam usaha menarik pelabur asing untuk datang ke negeri ini.

“Negeri ini mempunyai jaringan infrastruktur yang matang seperti lebuhraya, paip bekalan gas asli cecair (LNG), pelabuhan darat yang dihubungkan terus ke Pelabuhan Klang iaitu Ipoh Cargo Terminal (ICT) serta pelabuhan laut yang mengendalikan kargo pukal iaitu Lumut Port dan Lekir Bulk Terminal.

“Perak juga memiliki kelebihan baharu iaitu Hab Pengedaran Bijih Besi Vale di Teluk Rubiah yang membuka peluang kepada pembangunan industri hiliran besi keluli,” ujarnya.

Jelasnya,Kerajaan Negeri berusaha membantu pemaju-pemaju seperti Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPK) dan pemaju swasta dalam pembangunan beberapa kawasan-kawasan perindustrian baharu dan moden.

Menurutnya, langkah ini diambil bagi mengatasi isu kekurangan tapak yang boleh ditawarkan kepada pelabur-pelabur untuk projek-projek pelaburan baharu dan pembesaran bagi menempatkan projek-projek tersebut.

“Usaha lain yang dilakukan Invest Perak sebagai agensi penggalakan pelaburan negeri sentiasa mengenal pasti pelabur-pelabur berpotensi baik dari dalam mahupun luar negara dengan kerjasama rapat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Antara usaha lain adalah menggunakan testimoni atau konsep ‘word of mouth’ dari pelabur sedia ada untuk mempromosikan negeri Perak sebagai destinasi pelaburan kepada pelabur-pelabur berpotensi baharu,” katanya.

Tambahnya lagi, Invest Perak turut meningkatkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan pelaksanaan projek-projek berpotensi di negeri Perak

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");