Jenayah

Perigi lama jadi penyelamat

KLUANG: Setiap kali berhadapan krisis air ketika musim kemarau, penduduk Kampung Yap Tau Sah beralih kepada penggunaan air perigi yang masih dikekalkan hingga kini.

Ketua Masyarakat Yap Tau Sah, Liew Kwong Hee berkata, perkampungannya itu antara kawasan di daerah ini yang masih mempunyai perigi walaupun bilangannya tidak banyak berikutan bekalan air boleh diperoleh menerusi Syarikat Air Johor Holdings (SAJH).

“Rata-rata kediaman di sini sudah memasang paip dan tutup perigi, tapi ada dalam 10 rumah daripada 352 rumah di sini yang masih guna air perigi.

“Walaupun SAJH memberi bekalan air berjadual, tak dapat tampung kegunaan keluarga. Dengan adanya perigi secara tak langsung ringankan beban penduduk terutama yang tinggal di kawasan tinggi,” katanya.

Perigi lama zaman Perang Dunia Kedua

Penghuni paling lama di Kampung Yap Tau Sah, Song Ah Nyoo, 77, menceritakan bahawa perigi di kediamannya sudah mencecah usia 80 tahun iaitu dibina datuknya ketika zaman Perang Dunia Kedua.

“Datuk saya datang dari Taiwan kemudian meneroka kawasan di Yap Tau Sah. Dia bina sebuah perigi bagi kegunaan harian.

Sejak itu sehingga saya sudah umur 77 tahun, air perigi ini masih diguna untuk masak walaupun saya sudah pasang paip air SAJH,” katanya.

Dia yang tinggal seorang diri berkata, perigi itu masih berbentuk tradisi walaupun cara mengambil air tidak menggunakan sistem takal.

“Dulu bila mahu ambil air, perigi ini akan dipasang kayu untuk menarik air dari bawah, namun kini sudah tiada.

“Perigi dibina datuk saya ini ada simpan banyak sejarah, jadi saya rasa sayang untuk runtuhkannya,” katanya.

Terima bekalan air SAJH

Bagi ibu tiga anak, Noraini Dee Abdullah, 39, perigi di rumahnya wujud lebih 100 tahun sejak zaman nenek moyangnya.

Menurutnya, sejak itu ahli keluarganya tidak pernah menggunakan bekalan air lain selain air perigi.

“Bila krisis air melanda kawasan ini, keluarga saya tak ada masalah sebab kami ada sumber air yang mencukupi. Kami juga tolong jiran ambil air bila air paip tak ada.

“Dalam perigi ini lebih kurang tujuh kaki, bolehlah tampung keperluan kami sekeluarga. Tapi, sejak tahun lepas suami saya pasang paip SAJ bagi mengurangkan penggunaan air perigi,” katanya.

Noraini Dee berkata, selepas pemasangan paip SAJH, keluarganya kurang menggunakan air perigi, namun perigi itu akan dikekalkan bagi kegunaan keluarga sewaktu menghadapi krisis air.

Penggunaan kaedah pam

Walaupun kebanyakan kediaman di Kampung Yap Tau Sah masih menggunakan kaedah tradisional untuk mengambil air dari perigi, penduduk, Yup Kau Jong, 71, telah memasang jentera pam bagi memudahkan kerjanya.

Katanya, penggunaan pam memudahkan kerja dan tidak perlu menggunakan banyak tenaga dan masa.

“Jika dengan pam air perigi akan terus keluar ke pili paip yang dipasang di perigi. Saya masih menggunakan air perigi untuk kegunaan masak dan minum tetapi untuk basuh serta mandi, saya guna bekalan air SAJ,” katanya.

Kau Jong berkata, kewujudan perigi di kampung itu membuatkan penduduk di sini tidak terlalu bimbang apabila berhadapan krisis air.

“Setiap tahun sebelum jadual bekalan air secara berjadual diedarkan, kawasan kampung ini sudah dilanda masalah ketiadaan air, tapi kita bernasib baik sebab ada perigi.

“Kita sama-sama kongsi air sementara menanti bekalan air SAJH. Tapi air perigi sedia ada tak tahan lama kalau musim panas berpanjangan untuk jangka lama,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");