Jenayah

Pesanan terakhir ibu sebelum maut kemalangan

KEPALA BATAS: “Along, jawab periksa baik-baik, nanti boleh jadi contoh kepada adik-adik”

Itu pesanan terakhir seorang ibu ketika menghantar anaknya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Permatang Rambai, Penaga semalam.

Nurul Husna Rosidi, 17, berkata, ibu menghantarnya dengan motosikal ke sekolah pagi semalam sebelum ke tempat kerjanya di Hospital Kepala Batas.

Sebak mengenangkan pertemuan terakhir bersama arwah ibunya, Nurul Husna berkata, itu merupakan detik terakhir bersama ibunya.

“Saya hanya diberitahu mengenai kemalangan melibatkan ibu saya selepas tamat peperiksaan kertas Sejarah dan dibawa pulang oleh cikgu untuk melihat jenazah ibu. Tiada apa yang boleh saya ungkapkan, terkejut dan sedih sangat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa Nazirah Desa, 42, seorang jururawat maut setelah motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, motosikal wanita itu dilanggar Proton Exora yang dipandu seorang guru wanita dari arah Permatang Sintuk yang masuk ke laluan bertentangan selepas cuba mengelak sebuah basikal ditunggang seorang lelaki di laluan sama.

“Kereta itu melanggar motosikal yang ditunggang wanita berkenaan dan sebuah kereta lain di laluan bertentangan menyebabkan mangsa terhimpit antara dua kenderaan itu,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.


Mangsa rajin baca Yasin

Sementara itu suami mangsa berkata, sejak tiga minggu lalu, arwah isterinya seringkali dilihat membaca surah Yasin.

Rosidi Mohamad Rejab,40 berkata, kelakuan isterinya itu bagaimanapun dianggap perkara biasa dan tidak menyangka ianya petanda isterinya akan meninggalkan mereka sekeluarga.

“Selalunya dia akan membaca Yasin pada setiap malam Jumaat, namun sejak dua tiga minggu kebelakangan ini, setiap malam dia akan membaca,

Menyifatkan Nazirah merupakan seorang isteri yang penyayang dan bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga, katanya dirinya amat sedih dengan kehilangan isterinya itu.

“Sukar nak digambarkan perasaan saya ketika ini, terbayang saat-saat indah bersamanya, biarpun tugasnya sebagai seorang jururawat namun urusan rumah tangga tidak pernah diabaikannya.

“Walau apapun saya sedar, saya perlu kuat dalam menghadapi situasi ini, anak -anak perlukan saya, sayalah tonggak kekuatan kepada anak-anak setelah mereka kehilangan ibu yang tercinta,” kata bapa kepada tiga cahaya mata ini.

Jenazah Nazirah dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Desa Permai kemudiannya dibawa ke Permatang Tok Gelam untuk dikebumikan.

Sementara itu Adun Penaga, Datuk Zain Ahmad berkesempatan hadir bagi menziarahi keluarga mangsa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");