Perak Hari Ini

Saman: Siasatan Terhadap Izzah Tetap Dijalankan -KPN

IPOH: Meskipun berdepan dengan saman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, siasatan terhadap beliau masih tetap diteruskan, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, Naib Presiden PKR itu mempunyai hak untuk memfailkan saman. Namun, beliau tetap akan dipanggil untuk memberikan penjelasan berhubung perjumpaan yang dilakukan dengan Jacel Kiram.

“Saya dengar dia (Nurul Izzah) hendak saman saya… Itu hak dia, dia boleh saman, tetapi siasatan tetap terus dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah Pingat Kedaulatan Negara Tahun 2015 di sini, hari ini.

Seramai 264 anggota dan pegawai telah menerima pingat berkenaan diatas pengorbanan dan jasa dalam Ops Daulat semasa serangan yang berlaku di Lahad Datu.

PERAK TODAY 1

Tambah Khalid lagi, Nurul Izzah akan dipanggil untuk memberi keterangan pada Jumaat ini setelah pihak beliau berhubung dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu serta peguamnya.

Ujarnya, Nurul Izzah perlu menjelaskan kepada pihak polis tentang tujuan beliau mengadakan perjumpaan dengan Jacel Kiram yang juga merupakan jurucakap kepada tentera Kiram semasa pencerobohan bersenjata Jamalul Kiram III di Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013.

“Kita hendak tahu apa sebab beliau disana kerana saya perlu menjawab kepada ahli keluarga anggota dan pegawai saya yang terkorban semasa serangan oleh pihak Sulu di Lahad Datu tempoh hari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khalid juga menyatakan bahawa pihaknya akan memanggil Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk membantu siasatan.

“Kita juga tahu bahawa Yang Berhormat Tian Chua juga berada disana semasa Nurul berjumpa dengan Jacel Kiram. Kita juga akan panggil Tian Chua,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, Nurul Izzah telah memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menuduhnya sebagai pengkhianat kepada negara.

Saman berkenaan telah difailkan menerusi Tetuan Daim & Gamany di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Nurul Izzah sebagai plaintif mendakwa bahawa Khalid telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 22 November lalu.

Ia berhubung gambar yang memaparkan tentang Nurul Izzah bersama Jacel Kiram iaitu anak perempuan Jamalulail Kiram yang dikatakan mengetuai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");