Sukan Hari Ini

Tak mahu makan gaji buta

“Saya tidak mahu menyambung kontrak hanya untuk memanaskan bangku simpanan dan makan gaji buta!”

Begitu tegas Ndumba Makeche (gambar) mengenai keputusannya meninggalkan FELDA United pada ketika pasukan itu sedang membuat persiapan untuk menghadapi Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada suku akhir Piala Malaysia.

Makeche mengakui dia ditawarkan kontrak lanjutan sebulan lagi selepas kontrak asal tamat pada awal November lalu, tapi enggan menandatanganinya selepas ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan dia hanya akan menjadi pemain simpanan.

“Bila ditawarkan kontrak sebulan lagi, saya bertanya kepada Irfan sama ada akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Dia secara berterus-terang menyatakan saya hanya akan menjadi pemain simpanan.

“Jawapan Irfan itu jelas menunjukkan FELDA United sudah tidak memerlukan khidmat saya lagi. Jadi, buat apa saya sambung kontrak jika sekadar untuk memanaskan bangku simpanan.

“Saya datang ke Malaysia untuk bermain bola sepak, bukannya menjadi ‘penonton’. Kalau saya seorang yang hanya fikirkan wang, saya terima kontrak sebulan itu dan makan gaji buta. Tapi, saya bukan pemain kategori itu, saya hendak bermain dalam kesebelasan utama,” kata Makeche.

Menurut pemain kelahiran Zambia itu, hubungannya dengan Irfan mula bermasalah selepas FELDA United mengalami kekalahan 1-2 kepada T-Team di Kuala Terengganu dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia pada 3 Oktober lalu.

“Selepas kekalahan itu, hanya saya seorang pemain utama digugurkan dalam perlawanan menentang Kelantan. Tindakan Irfan itu seolah-olah beliau menyalahkan saya sebagai punca kekalahan.

“Jadi, apabila beliau menyatakan saya tidak akan berada dalam kesebelasan utama untuk menentang Selangor pada perlawanan terakhir kumpulan, saya ambil keputusan meninggalkan pasukan,” jelas Makeche.

Mengenai desas-desus yang menyatakan dia meninggalkan FELDA United untuk menyertai pasukan Liga Super dari Lembah Klang musim depan, Makeche sendiri terkejut dengan khabar angin itu.

“Mana anda dapat berita ini? Setakat ini, saya tidak menandatangani kontrak dengan mana-mana pasukan, malah tidak ada sebarang tawaran atau perbincangan. Sekarang, saya sedang bercuti di Perth, Australia bersama keluarga. Saya hanya mahu berehat dan melupakan seketika bola sepak,” kata Makcehe yang mewakili FELDA United sejak musim 2014.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");