Membawang Hari Ini

Terpaksa sisih lakonan

Selain Hafiz Suip, juara Akademi Fantasia (AF) yang benar-benar hangat dan menyengat hingga kini semestinya Hazama.

Hazama, 31, juga laris bukan sekadar menjadi tumpuan di pentas nyanyian malah anak jati ibu kota ini juga sudah membuktikan bakat seni lain dimilikinya sebagai pelakon.

Bagaimanapun buat masa sementara ini, Hazama tolak ke tepi dulu tawaran berlakon kerana mahu fokus pada perancangan menghasilkan album kedua.

Katanya, ketika ini dia keberatan menerima tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan untuk pembikinan album baru.

“Saya kini dalam proses mengumpul lagu. Setakat ini baru satu lagu siap dirakamkan iaitu Di Amaran Mama ciptaan Ajai dan lirik Ad Samad,” katanya.

Mengakui jadualnya kini cukup padat, Hazama bersyukur apabila lagu Sampai Mati yang dipertaruhkan pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 30 pada saingan pusingan pertama, minggu lalu dipilih lagu terbaik.

Katanya, masih terlalu awal untuk meletak harapan tinggi kepada nasib lagu ciptaan Omar K dan lirik Audi Mok itu.

“Memang saya bersyukur dengan kejayaan awal lagu Sampai Mati. Tak dinafikan walaupun belum pasti lagi sejauh mana nasibnya untuk berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) nanti, saya memang sudah membuat serba sedikit persediaan.

“Sekurang-kurangnya manalah tahu kalau ada rezeki lagu ini, semestinya ia membantu memudahkan saya mengatur segala perancangan persembahan,” katanya.

Penyanyi yang nama penuhnya Hazama Azmi berkata, dia teruja menunggu tarikh 20 Disember kerana bakal mengadakan persembahan istimewa di Hard Rock, Kuala Lumpur. Dia akan menyanyikan lagu-lagu yang cukup dekat dengan kisah hidupnya.

“Saya sangat gembira kerana persembahan itu bakal disertai penyanyi Zamani Slam. Memang menjadi impian saya untuk beraksi satu pentas dengan Zamani dan syukur persembahan di Hard Rock nanti akan merealisasikannya.

“Justeru, diharapkan peminat saya dan Zamani akan hadir memberikan sokongan pada persembahan itu. Malah, harga tiket persembahan juga berpatutan,” katanya.

Selain persembahan itu, Hazama juga akan sibuk sebagai salah seorang mentor untuk program realiti pencarian bakat tidak lama lagi.

Pada 13 Disember ini dia terbabit dengan sesi uji bakat mencari anak didik yang akan berlangsung di Shah Alam.

“Terus-terang, saya mencari anak muda berbakat. Tidak kesah sama ada lelaki atau wanita tetapi mereka yang berminat untuk menghadiri uji bakat itu mestilah boleh menyanyikan pelbagai genre lagu.

“Uji bakat ini juga terbuka pada belia berusia antara 17 hingga 21 tahun. Berminat dalam bidang nyanyian dan menunjukkan kesungguhan.

“Saya kalau boleh tidak mahu berhadapan dengan peserta yang bersikap sambil lewa dan tidak serius pada sesi uji bakat itu nanti,” katanya.

Mengenai keyakinannya untuk membimbing bakat baru, Hazama berkata dia sedar pengalaman dimilikinya juga tidak sebanyak mana. Bagaimanapun katanya, tidak salah untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sedikit yang ada ini.

“Bagi saya, apa yang penting adalah bakat. Saya juga sangat berbesar hati apabila ada stesen TV yang sudi memberi peluang untuk saya mencari anak didik untuk diberi bimbingan,” katanya.

Hazama yang sebelum ini pernah membimbing peserta Ceria Popstar terbitan Astro akui bekerjasama dengan kanak-kanak dan remaja sama sekali berbeza.

Apa pun, Hazama menganggap ia sebagai kepercayaan buat dirinya dan bertekad untuk memberi bimbingan sebaik mungkin.

“Saya pun sebelum berada pada tahap sekarang, bermula di pentas saingan program realiti. Jadi, saya akan kongsikan pengalaman pernah dilalui dulu.

“Selain itu, saya juga akan berusaha sedaya-upaya memberi tunjuk ajar yang termampu kepada anak didik yang berjaya dipilih nanti. Saya mahu dia juga berjaya,” katanya.

Hazama juga akan setia menunggu jodohnya dengan kekasih hati menjadi kenyataan suatu hari nanti. Sudah sering memberikan jawapan sama, Hazama akui sebagai manusia dia hanya mampu merancang kerana sesung­guhnya urusan jodoh ketentuan Tuhan.

Sementara itu pada 6 Disember ini, Hazama sekali lagi berentap pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 30 melalui lagu duet Al Nuraa nyanyian bersama Mawi dan Daly Filsuf.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");